EKONOMI

KERAJAAN CADANG KADAR DUTI SETEM RENDAH UNTUK PENYERAHHAKKAN POLISI INSURANS, TAKAFUL

18/10/2024 09:55 PM

KUALA LUMPUR, 18 Okt (Bernama) -- Kerajaan mencadangkan surat cara penyerahhakkan polisi insurans hayat dan sijil takaful keluarga secara pemberian kasih sayang atau melalui pemegang amanah dikenakan duti setem pada kadar tetap yang lebih rendah bermula 1 Januari 2025.

Ini bertujuan bagi membantu mengurangkan kos penyerahhakkan dan menggalakkan perlindungan insurans dan takaful kepada dalam kalangan ahli keluarga.

Menurut Kementerian Kewangan (MoF), bagi nilai pindah milik RM100,000 yang pertama, kadar duti setem yang dikenakan ialah RM10, manakala bagi nilai pindah milik melebihi RM100,000 pertama hingga RM500,000, kadar duti setem dikenakan ialah sebanyak RM100.

“Bagi nilai pindah milik melebihi RM500,000 hingga RM1 juta, kadar duti setem dikenakan ialah RM500 manakala bagi nilai pindah milik melebihi RM1 juta dikenakan kadar duti setem sebanyak RM1,000,” kata MoF dalam lampiran yang dikeluarkan seiring dengan pembentangan Belanjawan 2025 hari ini.

Bagi kedudukan semasa, surat cara penyerahhakkan polisi insurans hayat dan sijil takaful keluarga tertakluk kepada duti setem di bawah Butiran 32 (a), Jadual Pertama, Akta Setem 1949 pada kadar ad-valorem.

Ia menjelaskan bagi nilai pindah milik bagi RM100,000 yang pertama dikenakan kadar duti setem sebanyak satu peratus.

Bagi nilai melebih RM100,00 pertama hingga RM500,000 dikenakan kadar duti setem dua peratus, bagi nilai melebihi RM500,000 hingga RM1juta dikenakan kadar duti setem tiga peratus manakala nilai pindah milik melebihi RM1 juta dikenakan kadar duti setem empat peratus.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan