AM

PERUNTUKAN RM65 JUTA DAPAT PASTIKAN PEKEBUN KECIL PEROLEH MSPO - JOHARI

18/10/2024 09:59 PM

KUALA LUMPUR, 18 Okt (Bernama) -- Peruntukan sebanyak RM65 juta menerusi Belanjawan 2025 diharapkan dapat memberi suntikan kepada lebih ramai pekebun kecil untuk mendapatkan Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO), kata Menteri Komoditi dan Perladangan Datuk Seri Johari Abdul Ghani.

Daripada peruntukan tersebut, beliau berkata sebanyak RM50 juta akan digunakan untuk MSPO manakala RM15 juta akan digunakan bagi melawan kempen antiminyak sawit Malaysia.

Selain itu, Johari berkata peruntukan sebanyak RM100 juta yang diterima kementeriann juga akan digunakan bagi membantu pekebun-pekebun kecil meneruskan program penanaman semula.

"Walaupun tahun lepas kita sudah menerima RM100 juta, tahun ini pun kita mendapat jumlah yang sama. Perlahan-lahan kita laksanakan untuk tempoh lima tahun akan datang. 

"Diharapkan peningkatan dalam penanaman semula ini akan memberi manfaat kepada pekebun-pekebun kecil," katanya kepada media selepas pembentangan Belanjawan 2025 di Bangunan Parlimen, hari ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini turut mengumumkan dalam Belanjawan 2025 bahawa kerajaan bercadang menaikkan nilai ambang bagi kenaan levi keuntungan luar biasa ke atas buah kelapa sawit kepada RM3,150 bagi Semenanjung Malaysia, manakala bagi Sabah dan Sarawak kepada RM3,650.

Anwar berkata struktur julat harga pasaran dan kadar duti eksport minyak sawit mentah akan disemak semula mulai 1 November 2024, dan layanan semasa bagi eksport minyak sawit mentah dari Sabah dan Sarawak akan dikekalkan.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan