AM

PENYALURAN SEGERA RM150 JUTA LANGKAH RESPONSIF KERAJAAN TANGANI BANJIR KILAT

19/10/2024 10:42 AM

KUALA LUMPUR, 19 Okt (Bernama) -- Penyaluran segera peruntukan RM150 juta kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) serta Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) bagi menangani banjir kilat di ibu kota dan beberapa bandar di negara ini, adalah langkah responsif kerajaan terhadap permasalahan rakyat serta meringankan beban pihak bertanggungjawab yang sering terbeban dengan kos tambahan mengurus bencana.

Ketua Pengarah Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (PLANMalaysia) Datuk Dr Alias Rameli berkata peruntukan itu dapat dimanfaatkan PBT dan JPS bagi melaksanakan kerja pembersihan parit serta longkang di kawasan bandar yang kerap tersumbat hingga mengakibatkan banjir kilat.

“Peruntukan ini amat bermakna buat PBT dan dengan dana ini dapat melancarkan gerak kerja pihak bertanggungjawab,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Alias turut berpandangan isu bencana banjir kilat juga perlu diselesaikan dengan perancangan jangka panjang melalui pendekatan build back better iaitu kaedah perancangan pembangunan bersifat mitigasi serta pencegahan melalui pembinaan kawasan penempatan baharu di lokasi selamat dari risiko banjir.

Menurutnya, PLANMalaysia telah melaksanakan beberapa inisiatif antaranya menyediakan Rancangan Tempatan (RT) sebagai panduan pembangunan fizikal di kawasan bandar atau daerah.

“RT ini telah diwartakan sebagai panduan kepada PBT dalam membuat pertimbangan kepada permohonan pembangunan yang dikemukakan oleh pihak pemaju atau pemilik tanah,” katanya.

Pensyarah Kanan di Pusat Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM) Dr Mohammad Fajar Ikhsan pula berkata peruntukan segera itu menjadi isyarat jelas kerajaan agar PBT dan JPS segera memulakan kerja pembersihan longkang dan pengorekan sungai bagi menambah baik sistem pengairan serta saliran di kawasan bandar.

“Banyak sistem perparitan sedia ada di bandar-bandar ketika ini diwarisi dari reka bentuk sebelum merdeka yang tidak dapat menampung kuantiti hujan banyak dalam satu-satu masa. Ini akan menyebabkan air melimpah ke jalan raya,” katanya.

Mohammad Fajar turut mencadangkan agar satu proses penilaian terhadap tahap kualiti kerja yang dilaksanakan PBT dan JPS dijalankan bagi memastikan pihak itu menyiapkan projek seperti disasarkan kerajaan dalam menangani banjir kilat.

Menerusi Belanjawan 2025 yang dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Parlimen hari ini, kerajaan turut bersetuju memperuntukan hampir RM600 juta kepada Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) sebagai persiapan mendepani musibah banjir serta lebih RM300 juta disediakan sebagai persiapan sekiranya berlaku bencana pada bila-bila masa.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan