AM

BELANJAWAN 2025 BERI NILAI TAMBAH KEPADA PAHANG - WAN ROSDY

19/10/2024 10:28 AM

KUANTAN, 19 Okt (Bernama) -- Kerajaan Pahang menyifatkan beberapa projek yang diperuntukkan secara khusus kepada negeri ini yang diumumkan dalam Belanjawan 2025 akan menjadi nilai tambah serta memberikan kesejahteraan dan kemakmuran kepada rakyat. 

Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata peruntukan pelbagai projek itu kepada negeri ini sekali gus membuktikan keprihatinan Kerajaan Persekutuan terhadap keperluan Pahang sebagai negeri yang luas dengan potensi besar dalam sektor pelancongan, pertanian dan perindustrian

“Saya mewakili rakyat negeri Pahang amat berbesar hati dan berterima kasih dengan beberapa projek yang dikhususkan untuk negeri Pahang yang secara langsung memberi kesejahteraan dan kemakmuran kepada rakyat dan negeri ini,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

Beliau berkata antara projek yang diperuntukkan secara khusus untuk negeri ini adalah pembinaan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang, menambah baik kemudahan di Taman Negara Endau Rompin, dan pencalonan Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) untuk Tapak Lombong Bijih Timah Sungai Lembing.

Projek lain juga adalah Projek Tebatan Banjir Berkeutamaan Tinggi melibatkan sungai-sungai di Pahang, pembinaan dan pembaikan jalan-jalan kampung di daerah Lipis serta pembinaan jalan pintasan  Cameron Highlands dengan menaik taraf jalan dari bulatan McDonalds ke persimpangan Berinchang.

Wan Rosdy turut menyifatkan peruntukan Belanjawan 2025 yang berjumlah RM421 bilion merupakan satu komitmen besar Kerajaan Persekutuan dalam memastikan pembangunan yang seimbang dapat dilaksanakan di seluruh negara.

Belanjawan 2025 yang dibentangkan semalam merupakan belanjawan tertinggi dalam sejarah negara, dan belanjawan ketiga dibentangkan di bawah Kerajaan MADANI pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan terakhir di bawah Rancangan Malaysia ke-12 (2021-2025) sebelum beralih kepada Rancangan Malaysia ke-13 untuk tempoh lima tahun akan datang.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan