AM

BELANJAWAN 2025: PENEKANAN KEPENGERUSIAN ASEAN PAMER KESERIUSAN MALAYSIA TERAJUI BLOK SERANTAU

19/10/2024 10:45 AM

KUALA LUMPUR, 19 Okt (Bernama) -- Penekanan terhadap kepengerusian ASEAN dalam Belanjawan 2025 menunjukkan keseriusan Malaysia dalam menerajui badan serantau itu terutama untuk memperkukuh kerjasama ekonomi antara negara-negara anggota ASEAN.

Geostrategis Prof Dr Azmi Hassan berkata usaha meningkatkan kemajuan kawasan sempadan antara Malaysia dengan Indonesia, Singapura dan Thailand yang dinyatakan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan belanjawan itu adalah langkah baik ke arah mencapai matlamat berkenaan.

"Kawasan sempadan ini jika dimakmurkan dan dimajukan akan memberikan manfaat kepada negara-negara yang bersempadan. 

"Ekonomi menjadi pegangan penting Perdana Menteri walaupun beliau berkata masalah seperti (ketegangan) di Laut China Selatan, (pelarian) Rohingya itu tetap ada, tetapi untuk memakmurkan ekonomi disebut dalam Belanjawan 2025," katanya ketika dihubungi Bernama.

Felo Kanan Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara itu berkata Malaysia juga perlu menerajui usaha meningkatkan perdagangan intra-ASEAN terutamanya bagi negara-negara yang bersempadan.

Selain itu, Azmi berkata saranan Perdana Menteri supaya produk kraf tangan tempatan dijadikan sebagai cenderamata untuk delegasi ASEAN dalam kesemua lebih 270 mesyuarat yang akan diadakan di Malaysia satu langkah baik untuk memperkenalkan keunikan budaya negara di samping meningkatkan ekonomi penggiat industri itu.

Beliau turut menekankan kepentingan supaya semua kementerian dan agensi yang terlibat untuk mempergiat aktiviti promosi berkaitan ASEAN dan tidak hanya mengharapkan Kementerian Luar sahaja.

Sementara itu, penasihat utama di Pusat Penyelidikan Pasifik Malaysia Dr Oh Ei Sun berkata penekanan terhadap peningkatan interaksi ekonomi dan sosial antara negara-negara ASEAN seperti dinyatakan Perdana Menteri dalam ucapan belanjawan menjadi titik permulaan penting untuk peranan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN tahun depan.

Felo Kanan di Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura itu berkata Perdana Menteri yang sememangnya terkenal di arena antarabangsa membolehkan Anwar menggunakan kelebihan diplomatik ini.

"Tetapi beliau juga mesti menggunakan kelebihan itu dengan bijaksana apabila Malaysia menjadi pengerusi ASEAN tahun depan dengan menumpukan kepada isu-isu yang benar-benar relevan untuk ASEAN, seperti pemulihan dan integrasi ekonomi," katanya. 

Ketika membentangkan Belanjawan 2025 Perdana Menteri berkata Malaysia berpegang teguh kepada pendekatan bersama dalam memahat agenda pembaharuan di peringkat ASEAN termasuk menggerakkan pembangunan di kawasan bersempadan dengan negara tetangga untuk kemakmuran bersama.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan