BERITA TERGEMPAR   PM Anwar arrives in Jakarta to attend Indonesian presidential inauguration | 
 AM

UITM PEROLEH RM20 JUTA, BANTU PERKASA AGENDA BUMIPUTERA DALAM BIDANG E&E

19/10/2024 08:49 PM

MANJUNG, 19 Okt (Bernama) -- Penambahan peruntukan RM20 juta kepada Universiti Teknologi MARA (UiTM) dalam melahirkan lebih ramai graduan jurutera elektrik dan elektronik (E&E) dilihat mampu mengupaya serta memperkasakan agenda pembangunan Bumiputera di negara ini.

Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir berkata ini kerana bidang E&E adalah antara bidang yang kritikal dalam melahirkan graduan dan bakat bagi memenuhi keperluan industri serta perlu diberi perhatian di negara ini.

“Selain kita memberi ruang kepada universiti-universiti lain seperti USM (Universiti Sains Malaysia) yang menjadi peneraju utama dalam membangunkan program E&E ini, kita juga mengembangkan ke universiti-universiti lain seperti UiTM.

“Kita memberikan kepada UiTM ini kerana ia mempunyai bilangan pelajar yang sangat ramai, lebih 130,000 sekarang ini, mungkin yang terbaharu mencapai 138,000. Tentunya ia memerlukan program-program seperti ini (E&E) yang bersifat profesional dan sangat diperlukan dalam pasaran,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Program Pemerkasaan Wanita Peringkat Parlimen Lumut di Dewan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia Perak di sini hari ini.

Zambry berkata pihaknya mengucapkan terima kasih atas keprihatinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim atas peruntukan yang diberikan dan beliau yakin penambahan peruntukan tersebut mampu melahirkan dua kali ganda lagi jumlah graduan dalam bidang E&E berbanding sebelum ini.

“Sekarang ini, jika kita mengambil pengiraan sebagai contoh di IPTA (Institut Pengajian Tinggi Awam), sudah boleh mengeluarkan 5,000 graduan setiap tahun dan tentunya dengan adanya program baharu ini yang diperkenalkan di universiti, ia akan menambahkan lagi bilangan.

“Selain daripada IPTA, di peringkat politeknik pun kita perkenalkan dan dalam Rangkaian Universiti Teknikal Malaysia (MTUN) juga kita tambah lagi,” katanya.

Beliau berkata ini termasuk seperti yang disebutkan oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri  Dr Ahmad Zahid Hamidi supaya Universiti Kuala Lumpur (UniKL) di bawah Majlis Amanah Rakyat (MARA) turut dijadikan universiti MTUN yang boleh memperkenalkan program-program E&E tersebut.

Pada Jun lepas, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) memaklumkan bahawa Malaysia akan mengalami kekurangan 600 hingga 1,300 orang bakat jurutera dalam sektor E&E setahun dengan mengambil kira jumlah penghasilan purata iaitu 6,000 siswazah kelulusan sarjana muda dan ke atas dalam setahun.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan