BERITA TERGEMPAR   PM Anwar arrives in Jakarta to attend Indonesian presidential inauguration | 
 AM

BELANJAWAN 2025: EMPAT FOKUS UTAMA KEMENTERIAN PERTAHANAN

19/10/2024 09:14 PM

KUALA LUMPUR, 19 Okt (Bernama) -- Kementerian Pertahanan memberi keutamaan kepada empat perkara untuk dilaksanakan menerusi peruntukan RM21.13 bilion yang diterima dalam Belanjawan 2025.

Ia melibatkan kesejahteraan warga pertahanan, kesiapsiagaan ketenteraan dan pertahanan sempadan negara, hubungan pertahanan antarabangsa dan patriotisme sebagai benteng pertahanan negara.

Kementerian Pertahanan dalam kenyataan hari ini memaklumkan peruntukan itu meningkat kira-kira 7.08 peratus berbanding tahun lepas iaitu RM19.7 bilion dan daripada jumlah itu sebanyak RM13.64 bilion untuk peruntukan mengurus manakala RM7.49 bilion bagi pembangunan.

“Belanjawan 2025 untuk Kementerian Pertahanan semestinya akan menyuntik iltizam dan semangat warga pertahanan untuk sentiasa mempertingkatkan kesiapsiagaan demi kedaulatan tanah air.

“Kementerian Pertahanan dan Angkatan Tentera Malaysia akan berusaha sedaya upaya agar peruntukan itu dimanfaatkan dengan telus, berhemah serta berintegriti demi sebuah negara yang selamat, berdaulat dan makmur,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu memaklumkan Kementerian Pertahanan turut menzahirkan ucapan terima kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan menyambut baik Belanjawan MADANI ketiga itu.

Menerusi Belanjawan 2025, Anwar mengumumkan peruntukan kepada Kementerian Pertahanan melibatkan beberapa perkara antaranya RM5.8 bilion dikhususkan untuk kerja-kerja menyenggara dan pembaikan serta perolehan aset ketenteraan baharu.

Selain itu, program baharu PROTEGE-Veteran akan diperkenalkan khusus untuk mewajibkan kontraktor menyediakan peluang pekerjaan bagi veteran ATM, terutamanya yang punyai kelayakan bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

Turut diumumkan Anugerah Perkhidmatan Awam MADANI kepada petugas Pasukan MALBATT yang menyumbang tenaga dalam misi di Lubnan dengan pencapaian SMART yang diktiraf sebagai pasukan khas kedua terbaik di Asia Tenggara oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan peruntukan RM50 juta bagi Program Latihan Khidmat Negara 3.0 yang akan dimulakan secara rintis dengan konsep baharu.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan