AM

USAHAWAN BIMBINGAN INSKEN DI SARAWAK JANA HAMPIR RM2 JUTA HASIL JUALAN

20/10/2024 04:46 PM

KUCHING, 20 Okt (Bernama) -- Seramai 119 usahawan di Sarawak berjaya meningkatkan hasil jualan hampir RM2 juta melalui program bimbingan Institut Keusahawanan Negara Berhad (INSKEN) tahun ini.

INSKEN dalam kenyataan hari ini memaklumkan mereka mengikuti empat program di bawah INSKEN Bumiputera Business Coaching (IBBC), yang turut mencipta 93 pekerjaan baharu dan menaik taraf 10 perniagaan dari status mikro ke kecil.

“Selain itu, 25 peserta program INSKEN Start-Up Coaching mencatat peningkatan skor diagnostik sebanyak 287 peratus dalam tempoh enam bulan mengikuti program bimbingan usahawan permulaan ini,” menurut kenyataan itu.

Skor diagnostik ini dinilai sebelum dan selepas menyertai program ini melalui elemen-elemen konsep perniagaan, produk, harga, pemasaran, jualan, pengurusan kewangan, logistik/pengedaran, operasi/pembuatan, teknologi/inovasi, pelabur, pasukan kerja dan kepimpinan.

Kesemua 144 usahawan Sarawak yang menyertai program IBBC dan INSKEN Start-Up Coaching ini telah diraikan dalam Majlis Graduasi Program Bimbingan INSKEN Edisi Sarawak 2024, yang dirasmikan oleh Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak Datuk Dr Ripin Lamat di sini, Sabtu lepas. 

Kejayaan pelaksanaan dua program bimbingan di Sarawak ini juga merupakan hasil kerjasama INSKEN dengan Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat Sarawak (JKMS). 

Ketua Pegawai Eksekutif INSKEN Muhd Firdaus bin Azharuddin berkata kejayaan ini membuktikan langkah mereka membuka cawangan di Sarawak tahun lalu telah berhasil apabila lebih ramai usahawan di negeri ini mengambil peluang mendapatkan bantuan latihan serta bimbingan. 

“INSKEN akan terus kekal proaktif membantu usahawan di Sarawak dan meningkatkan bantuan kepada mereka yang berada di kawasan pedalaman, termasuklah dengan cara berkolaborasi bersama pelbagai agensi di sini,” tambahnya.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan