AM

KETAHUI ADAB PERBEZAAN PANDANGAN DALAM MENGGUNAKAN MEDIA SOSIAL - MOHD NA'IM

20/10/2024 04:59 PM

IPOH, 20 Okt (Bernama) -- Media sosial perlu diperluaskan penggunaannya ke arah membina masyarakat bertamadun dan bersatu padu, dengan pengguna harus tahu adab perbezaan pandangan, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar.

Beliau berkata adab berselisih pendapat terutamanya di dalam talian perlu, bagi mengelakkan perpecahan, di samping tidak menyalahgunakan media sosial untuk kepentingan diri.

“Apabila berbeza pandangan, bahasa yang kita gunakan contohnya tidak boleh menjatuhkan maruah, memfitnah orang lain, merasakan kita paling bijak dan sebagainya, yang itu tidak dibenarkan.

Adab itu kalau mereka (pengguna media sosial) faham dan boleh laksanakan, insya-Allah media sosial dapat digunakan ke arah kebaikan membentuk jati diri masyarakat,” katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Seminar Adabul Ikhtilaf (Adab Perbezaan Pendapat Dalam Islam), di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya bagaimana hendak membanteras penyalahgunaan media sosial sehingga menyebabkan berlakunya perpecahan dalam kalangan masyarakat.

Berkenaan program hari ini, Mohd Na'im berkata seminar itu diadakan bagi memberi pemahaman mengenai adab apabila berlakunya perbezaan pandangan.

Beliau berkata kerajaan MADANI di bawah kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu masyarakat memahami dan melaksanakan adab-adab ketika berselisih pandangan.

“Jadi harapan kita dengan adanya seminar ini, para ilmuan dapat membantu kerajaan memberikan pencerahan dan membentuk masyarakat MADANI yang saling menghormati, bersatu padu dan seterusnya membina masyarakat yang kukuh.

“Apabila kita hendak bangunkan negara, kejayaan ekonomi, sosial dan sebagainya, kita tidak mampu melakukannya jika masyarakat berpecah serta tidak memahami adab berbeza pandangan,” katanya.

Dalam pada itu, Mohd Na'im berkata pihaknya dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) akan mengadakan perbincangan lanjut berkenaan pelaksanaan penyaluran sumbangan khas RM500 kepada lebih 70,000 guru Kelas al-Quran dan Fardhu Ain (KAFA), takmir, imam, bilal, tok siak, noja serta marbut.

“JAKIM akan adakan perbincangan lanjut, insya-Allah dengan JPA (Jabatan Perkhidmatan Awam) dan sebagainya,” katanya ringkas ketika ditanya mengenai penyaluran sumbangan khas itu.

Jumaat lepas, Anwar ketika membentangkan Belanjawan 2025 mengumumkan kerajaan bakal menyalurkan sumbangan khas RM500 dengan peruntukan RM35 juta untuk menghargai jasa guru KAFA, takmir, imam, bilal, tok siak, noja serta marbut.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan