AM

MOSTI MULAKAN GERAK KERJA 100 SAINTIS DI BAWAH PROGRAM STI 100³

20/10/2024 06:59 PM

ARAU, 20 Okt (Bernama) -- Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) memulakan gerak kerja 100 saintis di bawah program STI 100 on the Power of Three (STI 100³) pada awal Oktober, dalam usaha meningkatkan minat pelajar sekolah kepada bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Chang Lih Kang berkata program melibatkan 100 saintis, 100 sekolah dan 100 hari tempoh pelaksanaan itu, diharapkan dapat menghasilkan impak yang signifikan dalam peningkatan minat pelajar sekolah kepada bidang berkenaan.

“Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) pada 17 Julai, meminta supaya MOSTI menyenaraikan 100 orang saintis tempatan bagi tujuan melaksanakan Program Jangkau Luar ke 100 buah sekolah,” katanya dalam ucapan sempena majlis perasmian Karnival Minggu Sains Negara 2024 Peringkat Negeri Perlis di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Arau di sini hari ini.

Teks ucapan Chang dibacakan Timbalan Ketua Setiausaha (Perancangan dan Pembudayaan Sains) MOSTI Ruziah Shafei, bagi mewakili beliau pada majlis perasmian yang disempurnakan Menteri Besar Perlis Mohd Shukri Ramli.

Chang berkata selaku kementerian yang menyelia bidang STI di negara ini, antara inisiatif utama MOSTI ialah menyemarakkan serta mempergiatkan aktiviti pembudayaan STI dalam kalangan masyarakat, khususnya golongan pelajar dan belia melalui aktiviti pembelajaran secara bukan formal serta luar bilik darjah.

Beliau berkata penganjuran karnival minggu sains di Perlis adalah yang keempat dilaksanakan selepas Kuala Lumpur, Kelantan dan Pulau Pinang.

Sementara itu Mohd Shukri dalam ucapan perasmiannya berkata program berkenaan sangat sesuai diperkenalkan dan dibudayakan demi menarik minat rakyat setempat khususnya golongan sasar yang terdiri daripada pelajar dan belia dalam bidang teknologi.

Mohd Shukri menyeru guru-guru untuk terus bergiat aktif dalam aktiviti STI dan terus menyokong pelaksanaan Minggu Sains Negara 2024, menerusi pengisian program bulanan secara fizikal dan dalam talian yang telah disediakan pihak MOSTI.

“Saya juga berharap agar anak-anak negeri Perlis menggarap sebanyak mungkin peluang dan manfaat yang akan diperoleh melalui inisiatif kerajaan ini, dalam membudayakan STI secara bersepadu demi kepentingan generasi akan datang,” katanya.

Beliau berkata kerajaan negeri juga akan terus memberikan sokongan dan komitmen yang jitu kepada MOSTI, khususnya dalam menjayakan pelaksanaan Minggu Sains Negara dan Malaysia Techlympics, Pertandingan Akhir Kebangsaan 2024 yang akan dilaksanakan di Putrajaya pada November nanti.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan