AM

BELANJAWAN 2025 PERCEPAT PENDIGITALAN MALAYSIA, PENGGUNAAN AI - MDEC

20/10/2024 07:17 PM

KUALA LUMPUR, 20 Okt (Bernama) -- Belanjawan 2025 memberi sokongan besar untuk mempercepatkan lagi digitalisasi Malaysia, menggalakkan penggunaan kecerdasan buatan (AI) dan memacu pertumbuhan inklusif sekali gus menjadikan Malaysia sebagai peneraju hab digital di rantau ASEAN.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) Anuar Fariz Fadzil berkata belanjawan ini diumumkan pada waktu yang tepat dan selaras dengan persiapan Malaysia untuk mempengerusikan ASEAN 2025.

“Menerusi inisiatif strategik yang telah dirangka, Malaysia kini bersedia untuk memacu kerjasama serantau dalam bidang utama seperti AI, ekonomi digital dan inovasi serta mengukuhkan peranan kita di ASEAN dan peringkat global,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata belanjawan yang dibentangkan turut menyediakan insentif kepada pelabur tempatan dan asing untuk terus melabur di Malaysia, khususnya dalam aktiviti bernilai tinggi, termasuk perkhidmatan digital. 

Anuar turut menekankan bahawa komuniti perusahaan kecil dan sederhana (PKS) negara juga bakal menerima manfaat daripada inisiatif untuk mengadaptasi peralatan digital bagi meningkatkan produktiviti dan kecekapan operasi sekali gus membolehkan PKS bertahan dan berkembang dalam ekonomi global yang semakin kompetitif.

Menurutnya peruntukan dana National Fund-of-Funds berjumlah RM1 bilion dan Dana Perintis Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) bernilai RM1 bilion adalah inisiatif utama bagi menyokong ekosistem syarikat pemula di Malaysia.

“MDEC turut menyambut baik tambahan RM65 juta untuk Cradle Fund bagi memperluaskan potensi serantau dan global bagi syarikat pemula tempatan serta geran padanan RM15 juta untuk menggalakkan kerjasama antara syarikat berkaitan kerajaan dan syarikat pemula melalui dana teroka korporat,” katanya.

Antara tarikan utama Belanjawan 2025 adalah kejayaan Malaysia meraih pelaburan berjumlah US$16.9 bilion (US$1 = RM4.30) daripada syarikat gergasi teknologi dunia termasuk Amazon Web Services, Microsoft, Google dan Oracle. 

“Pelaburan ini akan menjadi pemangkin kepada peluang pekerjaan untuk rakyat manakala inisiatif peningkatan kemahiran dan penubuhan pusat kecemerlangan akan meningkatkan lagi kedudukan Malaysia dalam landskap digital di Asia Tenggara,” katanya.

Dari segi AI, Anuar berkata peruntukan kerajaan sebanyak RM10 juta kepada Pejabat AI Kebangsaan dan RM50 juta bagi pendidikan AI menunjukkan komitmen yang kukuh untuk memajukan AI dan membina bakat mahir dalam bidang ini.

“Usaha ini akan mempercepat penggunaan AI dan memastikan Malaysia memimpin inovasi AI dan pembangunan beretika di rantau ini,” kata Anuar.

-- BERNAMA

 

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan