AM

TIADA LAYANAN DUA DARJAT JIKA TIDAK TANDATANGAN SSPA - KPPA

21/10/2024 05:43 PM

PUTRAJAYA, 21 Okt (Bernama) -- Tiada layanan dua darjat terhadap penjawat awam yang tidak menandatangani opsyen Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA), kata Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA) Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz.

Beliau berkata mereka yang tidak memilih SSPA akan kekal dengan Sistem Saraan Malaysia (SSM), namun tidak akan menikmati pelarasan gaji dalam skim baharu yang berkuat kuasa 1 Dis.

“Bagi mereka yang ingin kekal dalam SSM, mereka tetap dilayan sebagaimana penjawat awam biasa (cuma) dari segi gajinya mungkin tidak akan ada perubahan, kerana dia akan mengikut gaji semasa SSM dahulu,” katanya.

Wan Ahmad Dahlan berkata demikian kepada pemberita selepas mengetuai majlis menandatangani opsyen SSPA bersama 75 warga kerja Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) daripada pelbagai kumpulan perkhidmatan, di sini hari ini.

Beliau berkata melalui SSPA, sistem baharu itu akan beri lonjakan baharu dalam sistem penyampaian perkhidmatan awam negara, selain ia lebih menekankan terhadap kebajikan penjawat awam.

“Jadi sistem ini sebenarnya memberi manfaat yang sangat besar kepada penjawat awam. Selain daripada pelarasan gaji, ia juga menekankan kepada pembangunan modal insan dan juga laluan kerjaya yang lebih baik di masa hadapan.

“… sebagai Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, saya tidak teragak-agak untuk menandatangani yang ia akan memberikan pulangan dari segi gaji,” katanya.

Wan Ahmad Dahlan berkata melalui sesi libat urus diadakan di pelbagai peringkat, penjawat awam dilihat positif untuk memilih SSPA yang menawarkan lebih kemudahan kepada mereka.

Beliau yakin semua penjawat awam akan memilih sistem baharu itu, sekali gus memberi dorongan kepada mereka dalam mempertingkatkan lagi sistem penyampaian kepada rakyat.

“Apabila ada perubahan kepada pelarasan gaji, rakyat ingin melihat sejauh mana peningkatan sistem penyampaian dapat dilaksanakan oleh penjawat awam.

“Insya-Allah, saya percaya dengan iltizam semua penjawat awam di Malaysia, saya yakin bahawa kita akan dapat melihat satu lonjakan baru dalam sistem penyampaian di negara kita,” katanya.

JPA dalam kenyataan hari ini memaklumkan tawaran opsyen SSPA kepada semua penjawat awam adalah selama 40 hari bermula hari ini (21 Okt hingga 30 Nov).

Selama tempoh berkenaan, semua kementerian dan jabatan mesti melaksanakan urusan menandatangani opsyen SSPA selewat-lewatnya 30 Nov 2024.

Sebelum ini, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan pelarasan gaji sebanyak 15 peratus kepada pegawai Kumpulan Pelaksana dan pegawai Kumpulan Pengurusan dan Profesional, dan tujuh peratus kepada pegawai Kumpulan Pengurusan Tertinggi (KPT).

Pelaksanaan pemberian pelarasan gaji berkenaan akan dilaksanakan secara berfasa iaitu pada 1 Dis 2024 bagi Fasa 1 dan pada 1 Jan 2026 bagi Fasa 2.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan