AM

UUM UNIVERSITI PERTAMA MILIKI PUSAT KITAR SEMULA PANDU LALU

21/10/2024 08:25 PM

ALOR SETAR, 21 Okt (Bernama) -- Universiti Utara Malaysia (UUM) menjadi universiti pertama yang mempunyai pusat kitar semula secara pandu lalu atau Drive Thru Recycle Centre (DTRC-UUM) dalam kampus di negara ini.

Pengerusi Lembaga Pengarah UUM Tan Sri Dr Mohd Shukor Mahfar berkata semua warga kampus boleh menikmati ganjaran menerusi aktiviti kitar semula berkenaan, melalui aplikasi IdamanXChange seperti Boost dan Touch 'n Go.

“Dalam tempoh 17 bulan inisiatif ini dijalankan, DTRC-UUM berjaya menghalang lebih 61 tan bahan kitar semula daripada sampai ke tapak pelupusan, menyelamatkan 366 batang pokok, 32.3 juta gelen air, 35,937 jam elektrik dan 3,417 gelen minyak serta mengembalikan sebanyak RM37,390 kepada komuniti setempat.

“Ia adalah idea yang mudah tetapi memberi kesan mendalam, sekali gus menunjukkan kepada kita bahawa tiada tindakan yang terlalu kecil apabila melibatkan kelestarian,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Sidang Kemuncak Kelestarian Institusi Pengajian Tinggi 2024 yang mengumpulkan 12 universiti awam di seluruh negara, yang turut dihadiri Naib Canselor UUM Prof Datuk Dr Mohd Foad Sakdan dan Ketua Pegawai Eksekutif E-Idaman Sdn Bhd Zaki Abdul Aziz M.H. Daud.

Mohd Shukor berkata institusi pengajian tinggi perlu mengambil langkah proaktif, bukan sahaja sebagai pendidik tetapi juga ejen perubahan ketika dunia sedang berdepan cabaran global seperti perubahan iklim, kemerosotan alam sekitar dan ketidaksamaan sosial.

“Persefahaman antara semua universiti ialah komponen utama dalam usaha pelaksanaan perubahan ke arah masa depan dan semua pihak perlu berkolaborasi antara satu sama lain bagi mencapai matlamat kelestarian.

“Saya berharap persidangan seumpama ini bukan sahaja dapat mewujudkan wadah perkongsian pengetahuan, tetapi ia mampu menyumbang kepada perubahan dasar negara ke arah usaha kemampanan jangka panjang,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut merasmikan buku UUM Living Campus Blueprint yang merupakan rangka kerja strategik, direka untuk memastikan kesediaan UUM dalam menerima landskap pendidikan tinggi yang mampan.

“Kita menyasarkan sumbang saran idea dan kerjasama yang dibentuk di sini akan melangkaui ruang lingkup sidang kemuncak ini, sekali gus menyumbang kepada usaha global dalam mencapai matlamat pembangunan mampan (SDG) dan memberi inspirasi kepada perubahan positif di seluruh dunia.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan