AM

ACDM: PELUANG KERJASAMA ANTARA NADMA DENGAN JEPUN, KOREA SELATAN DALAM PENGURUSAN BENCANA

23/10/2024 07:17 PM

PUTRAJAYA, 23 Okt (Bernama) -- Pertemuan bilateral antara Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan ketua delegasi Jepun dan Korea Selatan membuka peluang kerjasama yang lebih rapi dalam pengurusan bencana.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata buat masa ini kebanyakan aktiviti melibatkan kedua-dua negara adalah secara ad-hoc dan tertumpu di peringkat ASEAN.

Beliau berkata pertemuan itu diadakan oleh Pengarah NADMA yang mengetuai delegasi Malaysia ke Brunei bagi menyertai mesyuarat ke-45 Jawatankuasa ASEAN mengenai Pengurusan Bencana (ACDM), mesyuarat ke-21 Lembaga Pengarah Pusat AHA, mesyuarat keenam Platform Ketahanan Bencana ASEAN (ADRP) dan mesyuarat berkaitan dari 21 Okt hingga hari ini.

"Malaysia memainkan peranan yang aktif melalui Perjanjian ASEAN mengenai Pengurusan Bencana dan Tindak Balas Kecemasan (AADMER) dan antara pendokong setiap aktiviti di bawah naungan program kerja AADMER selaku pengerusi bersama bagi ACDM Kumpulan Kerja mengenai Kesediaan, Tindak Balas dan Pemulihan (WG on PRR)," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negara, kini berada di Brunei bagi menghadiri Mesyuarat Menteri-Menteri ASEAN mengenai Pengurusan Bencana (AMMDM) ke-12 bermula hari ini hingga 25 Okt.

Ahmad Zahid berkata ACDM telah ditubuhkan pada awal 2003 di bawah Komuniti Sosio-Budaya ASEAN dan ia pada asalnya merupakan institusi kepakaran yang telah wujud sejak 1970-an sebelum diperkukuh dan dinaik taraf menjadi satu jawatankuasa sepenuhnya pada 2003.

Beliau berkata sebagai sebuah jawatankuasa, ACDM telah membangunkan AADMER yang ditandatangani pada 26 Julai 2005 dan berkuat kuasa pada Disember 2009. 

"AADMER adalah perjanjian serantau yang sah di sisi undang-undang dan untuk itu negara anggota mempunyai obligasi untuk mempromosikan kerjasama serantau bagi membina daya tahan, mengurangkan kerugian akibat bencana serta menggiatkan tindak balas terhadap bencana secara kolektif," katanya.

Beliau berkata perancangan dan pelaksanaan AADMER diterjemahkan melalui program kerja AADMER dan bagi tujuan pemantauan pelaksanaan program serta inisiatif.

Ahmad Zahid berkata pengemaskinian pelaksanaan program, aktiviti dan isu berkaitan AADMER, kerjasama rentas sektor, serta pengoperasian Pusat AHA perlu dilaporkan kepada mesyuarat ACDM yang diadakan dua kali setahun.

"Hasil mesyuarat ACDM pula akan dilaporkan dalam AMMDM dan Persidangan Pihak-Pihak (COP) bagi AADMER yang akan berlangsung esok," katanya.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan