AM

VMY2026: DUA TAHUN AKAN DATANG PENENTU BAGI PELANCONGAN BUDAYA MALAYSIA - TIONG

24/10/2024 12:53 PM

MELAKA, 24 Okt (Bernama) -- Dua tahun akan datang adalah penting bagi Malaysia dalam persediaan untuk Tahun Melawat Malaysia 2026 (VMY2026), kata Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing.

Beliau berkata industri pelancongan budaya di Malaysia terus berkembang pesat, dengan negara dijangka menyambut sekitar 36.5 juta pelancong dan menjana RM147.1 bilion dalam hasil untuk VMY2026.

“Dalam konteks pelancongan budaya ASEAN, VMY2026 membawa peluang untuk mempromosikan dan memasarkan semula rantau ini kepada pelancong yang melawat Malaysia.

“Terdapat banyak peluang bagi pihak berkepentingan industri di seluruh rantau ini untuk bekerjasama dan mendapat manfaat secara keseluruhan,” katanya dalam ucapan pada majlis perasmian Mesyuarat Menteri-Menteri ASEAN yang Bertanggungjawab bagi Kebudayaan dan Kesenian ke-11 (AMCA ke-11) dan Mesyuarat Pegawai Kanan ke-20 mengenai Kebudayaan dan Kesenian (SOMCA ke-20) serta Mesyuarat Berkaitan Dengan Rakan Dialog di sini, hari ini.

Turut hadir adalah Setiausaha Agung ASEAN Dr Kao Kim Hourn, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya Melaka Datuk Abdul Razak Abdul Rahman serta delegasi dari negara-negara yang mengambil bahagian.

Tiong berkata penglibatan belia, ekonomi kreatif dan digitalisasi akan menjadi fokus utama di bawah Kepengerusian AMCA Malaysia untuk dua tahun akan datang.

Menurutnya menjelang mesyuarat AMCA ini, Malaysia telah memulakan beberapa projek budaya tahun ini, termasuk Program Kelestarian dalam Industri Kreatif dan Budaya: ASEAN & Beyond; ASEAN Heritage Train, kerjasama dengan Lao PDR dan Thailand serta Persidangan mengenai Warisan ASEAN-China yang dicadangkan: Dimensions of National Arts yang telah diadakan beberapa minggu lepas di Perlis.

“Sebagai acara sampingan, Malaysia bekerjasama dengan Majlis Belia Malaysia untuk menganjurkan Forum Belia dan Warisan ASEAN bertemakan ''Celebrating Roots and Reimagining the Future".

"Program ini disertai oleh semua Negara Anggota ASEAN dan Timor-Leste, dan berjalan serentak dengan mesyuarat kita hari ini,” katanya.

Selain itu, Malaysia juga menganjurkan Mesyuarat AMCA+3 dengan China, Jepun dan Korea selaras dengan mesyuarat AMCA ke-11 dan SOMCA ke-20.

“Kami menghargai hubungan mesra dan kerjasama dialog yang saling menguntungkan dalam budaya dan seni yang telah terjalin dengan tiga negara rakan dialog.

"Bersama AMCA+3, kami terus mengutamakan dan menyebarkan peranan budaya dan seni dalam memupuk budaya keamanan, toleransi dan saling memahami melalui inisiatif utama seperti Festival Seni ASEAN, Bandar Budaya ASEAN dan Seni Persembahan Terbaik ASEAN,” katanya.

Tiong juga menyeru negara-negara yang mengambil bahagian untuk terus bekerjasama rapat bagi memperkukuh hubungan dan kerjasama serantau serta meningkatkan usaha untuk memelihara, memulihara, mempromosikan dan menghargai budaya, seni dan warisan ASEAN.

“Adalah jelas bahawa peranan budaya dalam hubungan antarabangsa telah berkembang sepanjang tahun, beralih lebih kepada pendekatan antara rakyat.

"Ketika kita terus mempromosikan kepelbagaian budaya, saya rasa kita semua boleh bersetuju bahawa ketersambungan yang lebih baik adalah cara untuk memperkukuh hubungan antara rakyat,” katanya.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan