AM

PENJUAL PERANTI ROKOK ELEKTRONIK DIINGATKAN UNTUK DAPATKAN PERAKUAN SIRIM

24/10/2024 03:17 PM

KUALA LUMPUR, 24 Okt (Bernama) -- Kementerian Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) mengingatkan semua penjual peranti rokok elektronik atau vape supaya mendapatkan kebenaran atau perakuan daripada Institut Piawaian dan Penyelidikan (SIRIM).

Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali berkata KPDN akan berkerjasama dengan  SIRIM bagi memastikan pengeluaran peranti rokok elektronik mendapat perakuan dan penandaan MS SIRIM yang menepati standard daripada SIRIM QAS International Sdn Bhd.

“Kita menerima laporan dan kebimbangan daripada pihak tertentu. Apa yang ingin saya nyatakan di pihak KPDN adalah bidang kuasa kita berkaitan dengan Akta Perihal Dagangan 2011.

“Ada satu perintah khusus berkaitan peruntukan dan penandaan peranti rokok eletronik yang dikeluarkan pada 2022 dan untuk menguatkuasakan perintah tersebut, kita akan kerjasama dengan SIRIM QAS International Sdn Bhd,” katanya dalam sidang media Pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Deepavali 2024, di sini hari ini.

Media sebelum ini melaporkan tentang penjualan rokok elektrik yang menyerupai pen penanda (marker pen) atau pelekat serbaguna, UHU yang menimbulkan kebimbangan kerana boleh mengelirukan penjaga ataupun guru. 

Berkuat kuasa 3 Ogos 2022, pengilang dan pengimport peranti rokok elektronik perlu membuat permohonan perakuan dan penandaan MS SIRIM daripada SIRIM QAS International Sdn. Bhd.

Penandaan MS SIRIM hendaklah diletakkan pada peranti rokok elektronik, alat gantinya atau pada bekas peranti itu dibekalkan yang mudah dilihat oleh pengguna, bagi menunjukkan peranti tersebut telah mematuhi standard dan selamat digunakan.

Sementara itu, Armizan turut mengingatkan para peniaga supaya tidak mengambil kesempatan menaikkan barangan yang dibuat daripada gula putih bertapis, susulan langkah kerajaan menaikkan kadar duti eksais bagi minuman bergula secara berfasa sebanyak 40 sen seliter mulai 1 Jan tahun depan. 

“Saya rasa kita boleh hidup tanpa ambil gula yang banyak dan itu merupakan apa yang diumumkan oleh kerajaan. Jadi, saya harap jangan ada pihak ambil kesempatan untuk menaikkan harga benda-benda yang tidak berkait dasar tersebut,” katanya. 

Pada pembentangan Belanjawan 2025, Jumaat lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan kenaikan kadar duti eksais bagi minuman bergula secara berfasa sebanyak 40 sen seliter mulai 1 Jan tahun depan bagi menyokong kempen War On Sugar yang dilancarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia pada 29 Jun lalu.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan