AM

KEMENTERIAN PENGANGKUTAN JANGKA PEMBANGUNAN SEMULA KL SENTRAL BERMULA AWAL 2025 - LOKE

24/10/2024 04:33 PM

KUALA LUMPUR, 24 Okt (Bernama) -- Kementerian Pengangkutan (MOT) menjangkakan bahawa projek pembangunan semula Stesen Kuala Lumpur Sentral (KL Sentral) dapat dimulakan awal tahun depan.

Menteri berkenaan Anthony Loke berkata setakat ini, syarat dan ketentuan untuk projek pembangunan semula Perkongsian Awam Swasta (PPP) masih dalam perundingan antara Unit Perkongsian Awam Swasta (Ukas) dan pemaju.

“Kami perlu memuktamadkan perjanjian terlebih dahulu sebelum dapat memulakan pembinaan, jadi kami berharap perundingan ini dapat diselesaikan dalam tahun ini, dalam tempoh dua hingga tiga bulan akan datang, dan mudah-mudahan projek pembangunan semula dapat dimulakan awal tahun depan.

"Dengan PPP, keseluruhan kos akan ditanggung oleh pemaju, sebagai balasan, pemaju akan menerima hak udara untuk pembangunan yang membolehkan mereka membina bangunan di atas stesen, mencipta pembangunan bercampur," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Loke berkata demikian apabila ditanya tentang kemajuan pembangunan semula KL Sentral yang sebelum ini dilaporkan akan bermula akhir tahun ini.

Beliau juga memberi jaminan bahawa KL Sentral akan terus beroperasi seperti biasa sepanjang projek pembangunan semula tersebut.

Dalam pada itu, Loke berkata pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada pembentangan Belanjawan 2025 mengenai inisiatif pas My50 yang diteruskan dengan peruntukan sebanyak RM216 juta dijangka menarik lebih ramai pengguna pengangkutan awam di Lembah Klang.

“Ketika ini, purata bulanan langganan pas My50 ini ialah kira-kira 226,000 pengguna, peningkatan ketara berbanding hanya 98,000 langganan ketika dilancarkan pada 2019. Jadi, kita yakin statistik ini akan terus meningkat dengan lanjutan inisiatif pas My50,” katanya.

Loke berkata seiring itu kemudahan pengangkutan awam akan terus ditambah baik terutama melibatkan kekerapan trip waktu puncak, mengurangkan gangguan isu teknikal selain menambah baik kaedah langganan My50 menerusi integrasi dengan aplikasi Touch N Go e-wallet.

My50 ialah inisiatif pas perjalanan tanpa had bernilai RM50 sebulan untuk penggunaan perkhidmatan rel dan bas kendalian Prasarana di Lembah Klang.

Sementara itu, ditanya mengenai bidaan terhadap siri nombor pendaftaran kenderaan istimewa MADANI, Loke berkata setakat ini kutipan hasil jualan nombor pendaftaran itu mencecah RM2.6 juta.

Pada sidang media sama, Loke turut memaklumkan beliau akan mengumumkan inisiatif tambang tiket penerbangan sempena musim perayaan dalam masa terdekat. 

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan