EKONOMI

INFLASI MALAYSIA DIUNJUR 2.9 PERATUS PADA 2025 - ALLIANZ

24/10/2024 10:08 PM

KUALA LUMPUR, 24 Okt (Bernama) -- Inflasi Malaysia diunjurkan pada 2.3 peratus tahun ini dan 2.9 peratus pada 2025 berbanding unjuran Bank Negara Malaysia (BNM) iaitu antara 2 peratus dan 3.5 peratus bagi 2024, kata Ketua Ahli Ekonomi Allianz SE Ludovic Subran.

Beliau tidak mengunjurkan julat inflasi yang lebih tinggi, namun mengakui bahawa langkah menarik balik subsidi dan meningkatkan cukai nilai ditambah boleh mewujudkan kesan inflasi semula jadi, yang memberi kesan asas sekali.

“Oleh itu, kami menjangka inflasi di Malaysia akan mencapai 2.9 peratus pada 2025 iaitu di bawah tiga peratus. Ini menunjukkan bahawa BNM tidak mungkin menurunkan kadar faedah dalam unjuran kami untuk 18 bulan akan datang.

“Malah, ini mungkin baik untuk mengawal ringgit, yang selama ini telah menjadi mata wang yang bertindak balas dengan agak kuat ke seluruh dunia,” katanya pada program Unjuran Ekonomi Asia Pasifik 2024 di sini hari ini.

Subran mengunjurkan defisit fiskal Malaysia berada pada 4.0 peratus berbanding 3.8 peratus seperti yang diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan semasa pembentangan Belanjawan 2025.

“Melihat kepada angkanya, saya berpendapat ia munasabah. Bagaimanapun, isu utama adalah amat sukar untuk mendapatkan subsidi pada 2025, subsidi pengangkutan.

“Walaupun anda melakukannya, bagi saya, antara aspek yang mengejutkan adalah subsidi telah berjumlah 3.6 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada suku kedua 2024. Ia pernah berada pada 1.8 peratus daripada KDNK pada suku kedua 2019... subsidi RON95,” katanya.

Beliau berkata di negara lain yang telah melaksanakan pendekatan yang sama, kerajaan lazimnya perlu meningkatkan program pemindahan sosial.

“Oleh itu, ketika anda menghentikan subsidi, anda memperkenalkan pindahan tunai bersyarat dan menyediakan sokongan kepada kawasan luar bandar dan rakyat kurang berkemampuan supaya mereka dapat bertahan.

"Saya tidak jangka anda akan meraih banyak pelepasan dalam belanjawan. Itulah sebabnya kami mempunyai penampan ini dan kami berpandangan bahawa defisit fiskal akan berada pada sekitar 4.0 peratus," katanya.

Sementara itu, Subran dalam kenyataan berkata KDNK Malaysia dijangka berkembang sebanyak 4.8 peratus pada 2024, 4.2 peratus pada 2025 dan 4.0 peratus pada 2026.

“BNM dijangka mengekalkan kadar dasar semalaman (OPR) pada 3.0 peratus untuk menyokong ringgit dan mengekang tekanan inflasi yang mungkin berpunca daripada pemansuhan subsidi secara berperingkat. Bagaimanapun, kenaikan gaji minimum dijangka tidak menyumbang dengan ketara kepada inflasi,” katanya.

Unjuran beliau untuk 2025 agak konservatif memandangkan perbelanjaan infrastruktur awam yang lebih rendah di samping jualan runcit dan pembuatan yang menyusut berbanding paras semasa prapandemik.

“Berikutan situasi global yang tidak menentu menjelang pilihan raya Amerika Syarikat dan trend konsolidasi fiskal di seluruh rantau ini dan di luarnya, pendirian berhati-hati dalam belanjawan adalah dialu-alukan bagi menangani sebarang trend yang tidak diingini,” katanya.

Beliau berkata Malaysia turut mempunyai peluang besar untuk bersedia meraih lebih banyak bahagian pasaran menerusi rantaian bekalan peralihan hijau.

“China dijangka menambah lebih US$2 bilion (RM8.69 bilion) dalam eksport sebagai sebahagian daripada pakej rangsangannya untuk merancakkan semula ekonomi dan meredakan krisis hartanah negara itu.

“Pengalihan Malaysia dari China dan kepelbagaian berikutnya ke rantaian bekalan lain telah memberi manfaat kepada ekonominya.

"Ini adalah ruang di mana ia boleh menempatkan kedudukan untuk memanfaatkan rantaian bekalan serantau, dan ia perlu berada dalam posisi kukuh menerusi bidang infrastruktur sosial, hijau dan teknologi," katanya.

-- BERNAMA


 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan