AM

PASTIKAN PERUNTUKAN BELANJAWAN 2025 CAPAI SASARAN - CAP

24/10/2024 09:05 PM

GEORGE TOWN, 24 Okt (Bernama) -- Kerajaan perlu membuat pemantauan rapi untuk memastikan peruntukan dana dalam Belanjawan 2025 untuk pelbagai projek dan program dibelanjakan dengan cekap bagi mencapai sasaran.

Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) Mohideen Abdul Kader yang menyambut baik langkah-langkah digariskan dalam belanjawan itu berkata pengawasan yang rapi penting untuk memastikan dana digunakan dengan berkesan dan telus.

Beliau berkata menaikkan gaji minimum pekerja daripada RM1,500 kepada RM1,700 dilihat sebagai satu tindakan yang wajar dan menjadi langkah pertama ke arah gaji sara hidup pekerja di bandar.

“Keputusan tidak mengenakan cukai jualan ke atas barangan makanan asas manakala barangan import premium seperti salmon dan avokado dikenakan cukai dilihat sebagai langkah berhemat untuk mengurangkan pengaliran keluar ringgit selain menggalakkan penggunaan hasil tempatan yang akan mengukuhkan ekonomi domestik,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Bagaimanapun, beliau berkata dasar itu  mestilah disokong oleh usaha bersepadu untuk meningkatkan pengeluaran pertanian dan makanan melalui pelbagai dana serta insentif.

"Kawalan kartel terhadap pengeluaran dan pengedaran makanan mesti dihapuskan bagi memastikan harga makanan yang mampu bagi rakyat," katanya.

Beliau berkata kenaikan secara berperingkat duti eksais ke atas minuman manis disifatkan sebagai  langkah positif ke arah gaya hidup lebih sihat.

Sehubungan itu, CAP menggesa vendor menawarkan diskaun bagi minuman tanpa gula untuk menggalakkan pengguna membuat pilihan lebih sihat.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan