AM

AHLI PARLIMEN BANGKIT SOAL KESAMARATAAN PELUANG DAN BANTUAN PENDIDIKAN

24/10/2024 09:00 PM

KUALA LUMPUR, 24 Okt (Bernama) -- Isu melibatkan sektor pendidikan negara menjadi tumpuan utama majoriti Ahli Parlimen yang menyertai sesi perbahasan peringkat dasar Rang Undang-undang Perbekalan 2025 di Dewan Rakyat, hari ini.

Antara perkara yang dibangkitkan termasuk soal kesamarataan peluang untuk mendapatkan pendidikan di peringkat sekolah mahupun institusi pengajian tinggi (IPT), soal bantuan pembiayaan pendidikan, selain agihan peruntukan yang menyeluruh dalam semua aspek berkaitan bidang pendidikan.

Syahredzan Johan (PH-Bangi) mencadangkan kerajaan memberi peruntukan khas kepada pusat pendidikan khas bagi kanak-kanak istimewa di sekolah, termasuk pusat di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

“Kita perlu lebih banyak kelas pendidikan khas di sekolah-sekolah, terutama sekali di tempat yang padat dan pesat membangun, malah kita juga memerlukan lebih banyak pusat yang dapat memberi sokongan kepada pendidikan khas formal di sekolah,” katanya ketika membahaskan rang undang-undang itu.

Di peringkat IPT, beliau mencadangkan kerajaan mewujudkan Dana Pendidikan Masyarakat India sebagai bantuan pendidikan kepada mahasiswa India di seluruh negara, kerana kaum itu dilihat agak terpinggir daripada pelbagai aspek termasuk pendidikan.

Syahredzan mencadangkan RM100 juta diperuntukkan dan boleh dimanfaatkan 5,000 penerima setiap tahun, dengan pemberian RM20,000 secara sekali beri kepada mahasiswa India daripada keluarga berpendapatan rendah.

Sementara itu, Datuk Willie Anak Mongin (GPS-Puncak Borneo) berkata semua pelajar tanpa mengira agama berhak mendapat akses pendidikan yang saksama, justeru kerajaan harus bersikap adil dalam menawarkan program penajaan pendidikan Majlis Amanah Rakyat (MARA) kepada pelajar bumiputera, termasuk mereka yang bukan beragama Islam.

“Saya tidak mahu mempolitikkan perkara ini, tetapi natijahnya ini yang berlaku dan diadu di kawasan saya jadi saya ingin tahu perincian data, berapa anak bumiputera bukan Islam yang ditaja oleh MARA supaya mereka ini dapat akses pendidikan yang baik.

“Saya juga minta Kerajaan MADANI berlaku adil kepada pelajar bangsa lain (untuk mendapat pendidikan), kerana kalau kita sama-sama boleh berjihad menerima potongan subsidi, membayar cukai, kenapa tak boleh berjihad untuk anak-anak Cina dan India mendapat pendidikan yang saksama, untuk kebaikan negara kita,” katanya.

Tan Hong Pin (he) (PH-Bakri) mencadangkan kerajaan memperkenalkan satu dasar pendidikan tinggi berkualiti yang lebih fleksibel, supaya dapat diakses semua lapisan masyarakat terutama dalam aspek yuran pengajian.

Beliau berkata hal itu kerana kadar yuran bagi kemasukan melalui saluran terbuka di institutusi pengajian tinggi awam (IPTA) yang dilihat lebih tinggi dan mengikut kadar pasaran seperti di IPT Swasta (IPTS) berbanding kemasukan saluran perdana.

“Kemasukan saluran terbuka ini bukan semua datang daripada keluarga yang berada, sebaliknya ramai mereka terpaksa mengambil langkah ini kerana universiti awam dipercayai kenakan yuran lebih rendah berbanding IPTS,” katanya.

Ahli Parlimen lain yang turut membangkitkan isu pendidikan termasuk Isnaraissah Munirah Majilis@Fakharudy (Warisan-Kota Belud), Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (PN-Kuala Kangsar) dan William Leong Jee Keen (PH-Selayang).

Persidangan bersambung Isnin.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan