EKONOMI

KWAP LABUR RM219 JUTA DALAM CYAN RENEWABLES BAGI TINGKATKAN SEKTOR LUAR PESISIR MALAYSIA

25/10/2024 12:39 PM

KUALA LUMPUR, 25 Okt (Bernama) -- Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) melabur RM219 juta untuk kepentingan minoriti dalam Cyan Renewables (Cyan), pemilik dan pengendali kapal sokongan luar pesisir terbesar di Asia. 

Sebagai pelabur bersama dalam perjanjian yang diterajui Seraya Partners, KWAP berkata pelaburannya sejajar dengan kerangka Ekonomi MADANI, memacu kemampanan, kemakmuran dan inovasi.

Ketua Pegawai Pelaburan KWAP Hazman Hilmi Sallahuddin berkata pelaburan dalam Cyan mencerminkan komitmen KWAP untuk mencapai RM20 bilion dalam pelaburan aset alih menjelang 2030, menyokong matlamat Ekonomi MADANI dan kemampanan.

“Cyan turut menyokong peralihan legasi kepada tenaga bersih dengan menyediakan perkhidmatan penting dan bernilai tinggi yang 'Menaikkan Siling' dan membangunkan profesional mahir dalam negara, yang 'Menaikkan Lantai'.

“Inisiatif ini juga merupakan sebahagian daripada komitmen KWAP di bawah program GEAR-uP, diterajui oleh Kementerian Kewangan dalam menyelaraskan usaha dalam kalangan GLIC untuk memangkin pertumbuhan dalam sektor ekonomi utama termasuk infrastruktur, pengangkutan dan tenaga boleh baharu,” katanya dalam kenyataan.

KWAP mengiktiraf Cyan sebagai pengendali kapal terkemuka di Asia, dikenali dengan saiz kumpulan kapal dan kepakarannya, dengan lebih 1,000 hari beroperasi dalam projek angin luar pesisir.

Syarikat itu mengendalikan 32 kapal sokongan luar pesisir, memberikan perkhidmatan kepada pelanggan yang mempunyai rekod prestasi kewangan yang kukuh dalam sektor tenaga tradisional dan angin luar pesisir, dengan tumpuan yang meningkat kepada sektor angin luar pesisir.

Cyan, telah menjana pendapatan yang ketara dari Malaysia, berhasrat untuk melabur sehingga RM1 bilion dengan KWAP untuk mengembangkan lagi industri kapal sokongan luar pesisir.

Pelan termasuklah mewujudkan ibu pejabat Asia Tenggara di Malaysia, membina pasukan pengurusan kumpulan kapal di Kuala Lumpur dan Miri, menggaji profesional tempatan, menaja latihan kadet serta menggunakan limbungan kapal tempatan untuk pembaikan kapal dan binaan baharu untuk menyokong pertumbuhan industri kapal Malaysia.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan