AM

253 WANITA ALAMI MASALAH SOSIAL, AKIDAH DIPULIHKAN DALAM TEMPOH LIMA TAHUN - MAIS

25/10/2024 02:46 PM

SHAH ALAM, 25 Okt (Bernama) -- Sebanyak 253 wanita yang terlibat dengan gejala sosial dan akidah berjaya dipulihkan setelah mengikuti program pemulihan di Pusat Perlindungan Wanita Baitul Ehsan, Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) sepanjang tempoh lima tahun sejak 2019.

MAIS dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa pelatih yang berumur 13 tahun dan ke atas, datang dari dalam dan luar Selangor dengan latar belakang berbeza, telah pulih sepenuhnya dan kembali ke jalan yang benar serta diredhai Allah.

Kenyataan tersebut menekankan bahawa angka ini menunjukkan komitmen MAIS untuk menghasilkan insan yang baik dari segi akhlak, rohani, dan berkualiti, serta mampu menghadapi cabaran kehidupan di luar setelah selesai menjalani program pemulihan.

“Pelbagai program dirancang dan dilaksanakan setiap tahun bagi melancarkan proses pemulihan, perlindungan, rawatan, pencegahan, serta kawalan agar golongan yang terlibat dengan gejala sosial dan akidah ini dapat kembali ke pangkal jalan.

Setiap pelatih perlu mengikuti semua program pemulihan mengikut tempoh yang ditetapkan berdasarkan masalah sosial atau akidah yang dihadapi," menurut kenyataan itu.

Dalam hal ini, MAIS mengharapkan masyarakat dapat memberikan sokongan dan dorongan kepada mereka yang telah berjaya dipulihkan agar tetap istiqamah dalam perubahan ke arah yang lebih baik dan kekal sebagai insan Rabbani yang cemerlang di dunia dan akhirat.

MAIS juga mempelawa mereka yang mempunyai masalah sosial dan ingin berubah untuk menghubungi Pusat Perlindungan Wanita Baitul Ehsan MAIS bagi mendapatkan penjelasan lanjut.

Pusat perlindungan yang terletak di Sabak Bernam ini menempatkan golongan wanita dan gadis yang terlibat dengan gejala sosial serta akidah, dan juga memerlukan bimbingan dalam proses pemulihan rohani dan jasmani.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan