PUTRAJAYA, 25 Okt (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menerima baik pemohonan maaf secara terbuka yang dibuat oleh bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung penyelewengan dana 1Malaysia Development Bhd (1MDB).
"Terima baik, terima baik," katanya ringkas selepas menunaikan solat Jumaat di Surau Ar-Rahman, Presint 16 di sini hari ini.
Semalam, Najib membuat permohonan maaf secara terbuka kepada rakyat Malaysia berhubung salah laku yang berlaku dalam 1MDB semasa beliau menjawat jawatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan.
Dalam kenyataan yang dibaca anak sulungnya, Datuk Mohamad Nizar pada sidang media di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, Najib kekal menyatakan beliau tidak bersalah dan meletakkan kesalahan kepada ahli perniagaan dalam buruan, Jho Low dan eksekutif Petrosaudi.
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur akan memutuskan sama ada Najib perlu membela diri dalam kes rasuah 1MDB yang bermula lima tahun lepas, pada Rabu depan.
-- BERNAMA