AM

PM ETHIOPIA LAWAT KILANG PROTON

25/10/2024 06:05 PM

TANJUNG MALIM, 25 Okt (Bernama) -- Perdana Menteri Ethiopia Dr Abiy Ahmed Ali hari ini melawat kilang Proton di sini sebagai sebahagian daripada acara dalam lawatan rasmi dua hari ke Malaysia.

Beliau tiba di bangunan pentadbiran Proton pada 3.40 petang, diiringi Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air Akmal Nasrullah Mohd Nasir dan Ketua Protokol Wisma Putra Datuk Yubazlan Yusof.

Ketibaan Abiy disambut oleh Ketua Pegawai Eksekutif Proton Dr Li Chunrong dan pengurusan tertinggi syarikat berkenaan.

Beliau meluangkan masa kira-kira 40 minit melawat kilang dan mendengar taklimat mengenai operasi Proton.

Wisma Putra dalam kenyataan memaklumkan Abiy akan bertemu Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam satu majlis rasmi esok, diikuti dengan mesyuarat dua hala.

“Perbincangan kedua-dua pemimpin dijangka memberi tumpuan kepada pengukuhan hubungan dua hala, khususnya dalam bidang perdagangan dan pelaburan, pertanian dan komoditi, industri halal, pembangunan mampan, kesihatan, pelancongan dan pendidikan.

“Mereka juga dijangka membincangkan isu serantau dan antarabangsa yang menjadi kepentingan bersama. Satu sidang media bersama akan diadakan selepas mesyuarat itu,” menurut kenyataan berkenaan.

Abiy, ditemani isterinya Wanita Pertama Zinash Tayachew Bere, tiba di Malaysia pagi ini untuk kunjungan sulungnya ke negara ini.

Ethiopia adalah rakan dagangan ke-26 terbesar Malaysia di benua Afrika, imbangan dagangan berpihak kepada Malaysia pada 2023.

Nilai perdagangan dua hala antara Malaysia dan Ethiopia direkodkan RM446.8 juta, dengan eksport Malaysia ke Ethiopia bernilai RM358.6 juta, mencatatkan peningkatan sebanyak 24.6 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Produk yang dieksport Malaysia ke Ethiopia termasuk elektrik dan elektronik, minyak sawit serta barangan pertanian berasaskan minyak sawit, bahan kimia dan produk berasaskan bahan kimia, serta tekstil, pakaian dan kasut.

-- BERNAMA

 

 

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan