AM

JELAJAH HAWANA 2024 BERI PELUANG MAHASISWA LIHAT DUNIA KEWARTAWANAN DENGAN LEBIH MELUAS

25/10/2024 06:31 PM

KOTA KINABALU, 25 Okt (Bernama) -- Program Jelajah Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2024 Bersama Siswa di Universiti Malaysia Sabah (UMS) di sini hari ini, memberi peluang kepada mahasiswa Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan universiti itu untuk melihat dunia kewartawanan secara lebih meluas.

Alief Suhairie Asry, 22, mengakui menerusi program itu, mereka diberi pendedahan bagaimana menjadi seorang wartawan yang serba boleh, terutama melibatkan teknologi maklumat sesuai dengan keperluan semasa industri.

Beliau yang berasal dari Kota Marudu berkata program itu juga, secara tidak langsung memperkenalkan fungsi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) sebagai medium yang menyalurkan berita yang tepat kepada masyarakat melalui pelbagai platform agensi berita itu.

“Pelbagai manfaat yang saya dapat, contohnya daripada segi tips macam mana untuk menjadi wartawan, menjadi jurugambar, dan cara membuat video,” katanya kepada Bernama pada Program Jelajah HAWANA 2024 Bersama Siswa bagi zon Sabah, di sini hari ini.

Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif Bernama Nur-ul Afida Kamaludin yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kerja HAWANA 2024, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UMS Prof Dr Rosalam Sarbatly dan Ketua Pengarang Bernama Arul Rajoo Durar Raj yang juga Pengarah Projek HAWANA 2024.

Sempena program itu hari ini, Nur-ul Afida menyampaikan sumbangan satu set komputer berkeupayaan tinggi dan sebuah televisyen pintar kepada Program Komunikasi fakulti tersebut.

Nurafidah Mudding, 22, berasal dari Tawau pula berkata program selama sehari itu, memberi motivasi kepada dirinya agar mempunyai keyakinan apabila berada dalam khalayak ramai ketika berada di alam pekerjaan.

Beliau berkata dia dapat merasakan kerjaya sebagai wartawan dilihat sangat menyeronokkan, kerana boleh mengetahui isu-isu semasa yang berlaku di sekeliling.

“Kita tidak kosong kerana dapat maklumat dan untuk diri saya, saya memang berminat untuk menjadi wartawan,” katanya sambil memberitahu maklumat daripada program itu dapat diaplikasikan dalam kerja kursus universiti nanti.

Mohamad Hafiezan Fiezal Haron, 22, berterima kasih atas inisiatif Bernama memilih UMS untuk memperkenalkan dunia kewartawanan kepada para mahasiswa di UMS.

“Program itu amat bersesuaian dengan kursus saya di UMS, sekali gus memberi idea untuk menjalani latihan industri tahun depan. Banyak ilmu pengetahuan yang saya perolehi sempena program ini,” katanya yang berasal dari Putatan.

Mahasiswa yang ditemui itu juga mengucapkan terima kasih atas sumbangan satu set komputer berkeupayaan tinggi dan sebuah televisyen pintar, yang amat membantu dalam pengajian mereka di fakulti tersebut.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan