AM

MICHELLE DIPILIH PENGERUSI BELIA IFRC DI GENEVA

25/10/2024 08:46 PM

KUALA LUMPUR, 25 Okt (Bernama) -- Pengerusi Majlis Belia Kebangsaan Bulan Sabit Merah Malaysia (BSMM) Michelle Shi Jie Chew telah dipilih sebagai Pengerusi Belia Persekutuan Palang Merah dan Bulan Sabit Merah Antarabangsa (IFRC) dalam Perhimpunan Agung IFRC ke-24 di Geneva, Switzerland, Rabu lepas.

Setiausaha Agung BSMM Hakim Hamzah berkata perhimpunan yang melibatkan 191 negara tersebut menyaksikan wakil Malaysia menang dengan memperoleh 41 peratus undi berbanding empat calon lain untuk memimpin Suruhanjaya Belia IFRC.

“Pemilihan ini sekali gus mengukuhkan suara generasi muda Malaysia dan golongan wanita dalam menangani cabaran kemanusiaan dunia.

“Michelle Chew menjadi simbol peranan aktif wanita dalam memacu prinsip kesaksamaan gender dalam kepimpinan, sejajar dengan nilai-nilai BSMM dan IFRC yang mementingkan penyertaan inklusif,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Hakim berkata dengan pengiktirafan itu,  BSMM berharap lebih ramai wanita akan terlibat dalam inisiatif kemanusiaan dan membuktikan kemampuan mereka dalam membawa perubahan positif kepada masyarakat.

Selain itu, katanya, penglibatan Pengerusi Kebangsaan BSMM Tengku Temenggong Kedah Tunku Puteri Intan Safinaz Almarhum Sultan Abdul Halim sebagai Ahli Lembaga IFRC juga menonjolkan Malaysia sebagai negara yang aktif dalam membangunkan pemimpin wanita di arena global.

Beliau berkata BSMM akan terus berusaha memastikan golongan wanita diberi peluang yang sama untuk memimpin dan menyumbang di peringkat tempatan dan antarabangsa, sebagai komitmen dalam pembangunan komuniti yang lebih inklusif dan sejahtera.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan