AM

PERSIDANGAN MIH MEGATRENDS TONJOL KEPIMPINAN MALAYSIA DALAM INOVASI PENJAGAAN KESIHATAN

25/10/2024 09:04 PM

KUALA LUMPUR, 25 Okt (Bernama) -- Persidangan Kesihatan Antarabangsa Malaysia (MIH) Megatrends 2024 yang bermula hari ini menghimpunkan golongan profesional penjagaan kesihatan, pemimpin industri dan penggubal dasar untuk menerajui penyelesaian dan kemajuan terkini dalam sektor penjagaan kesihatan.

Presiden dan Pengarah Urusan KPJ Healthcare Berhad Chin Keat Chyuan berkata persidangan berkenaan antara lain menumpukan kepada memanfaatkan kemajuan teknologi khususnya kecerdasan buatan (AI) dan data raya untuk meningkatkan perubatan ramalan, pencegahan dan ketepatan.

"Matlamat utama MIH Megatrends ialah menyediakan satu platform yang membolehkan semua pihak berkepentingan seperti doktor, pihak hospital, ahli farmasi dan seluruh ekosistem untuk bekerjasama.

“Himpunkan individu yang berfikiran terbaik, bertukar-tukar pengetahuan dan yang lebih penting bagaimana untuk meningkatkan pembelajaran utama ke tahap seterusnya, jadi apa yang kami ingin capai ialah memajukan penjagaan kesihatan untuk manfaat pesakit,” katanya kepada pemberita di reruai KPJ di MIH Megatrends di sini hari ini.

Chin berkata MIH Megatrends yang berlangsung selama tiga hari di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur menampilkan lebih 100 pempamer termasuk agensi kerajaan dan sektor swasta dengan penglibatan lebih 1,500 peserta.

Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dijadual berangkat menyempurnakan perasmian persidangan itu esok.

Mengulas mengenai program kerjasama Kementerian Kesihatan (KKM) dengan kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan pelbagai pihak berkepentingan industri itu, Chin berkata MIH Megatrends menandakan langkah penting dalam merealisasikan kerjasama awam swasta (PPP) di Malaysia.

Beliau berkata matlamat utama adalah untuk menonjolkan kemajuan Malaysia dalam penjagaan kesihatan kepada khalayak global, selaras sebagai Kepengerusian ASEAN tahun depan yang menyediakan platform ideal untuk mengetengahkan kemajuan dan inovasi negara di dalam dan luar rantau ini. 

Dari segi teknologi, beliau berkata KPJ telah melaksanakan penyelesaian canggih seperti pembedahan yang dibantu robot seperti penggantian lutut dan prosedur pembedahan jantung invasif minimum.

Sementara itu, Chin berkata KPJ juga giat melabur untuk AI dan teknologi robotik bagi meningkatkan standard penjagaan dan menyepadukan perkhidmatan klinikal dengan pendidikan dan penyelidikan. 

Beliau berkata pendekatan terbabit mengutamakan nilai dan pengalaman pesakit di samping berusaha untuk mencapai operasi penjagaan kesihatan yang mampan.

Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan Datuk Seri Suriani Ahmad dalam ucapan pembukaan persidangan itu hari ini menekankan kepentingan kerjasama dalam memacu penjagaan kesihatan dan ia merupakan permulaan untuk siri perbincangan serta pembentangan yang memberi impak yang menekankan potensi penyelesaian penjagaan kesihatan yang bersedia untuk masa depan Malaysia.

Persidangan pada hari pertama menampilkan barisan panel termasuk Ketua Pegawai Operasi Hospital Vejthani, Thailand Dr Tullalawat Pacharapha yang membincangkan mengenai transformasi penjagaan kesihatan dan penjagaan pesakit serta Profesor Meong Hi Son, Pegawai Maklumat Perubatan di Pusat Perubatan Samsung, Korea Selatan.

Sesi ini secara kolektif menekankan kepentingan inovasi dalam meningkatkan hasil pesakit dan menyelaraskan penyampaian penjagaan kesihatan.

MIH Megatrends 2024 turut menawarkan pengalaman dinamik untuk orang ramai menerusi ruangan Action Hub yang membolehkan pengunjung berinteraksi dengan pempengaruh kesihatan dan menyaksikan demonstrasi produk terkini.

Zon Teknologi Kesihatan Inovasi pula menawarkan kemajuan digital seperti penjagaan kesihatan dan teleperubatan yang dipacu oleh teknologi buatan AI.

Pelbagai aktiviti menarik ditawarkan kepada pengunjung termasuk pemeriksaan kesihatan percuma, derma darah dan konsultasi kesihatan holistik, selain aktiviti mesra keluarga seperti projek pendidikan di Zon Kanak-kanak dan penampilan istimewa Didi & Friends.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan