AM

KRU TLDM LAWAT KAPAL LAYAR LATIHAN CHINA PO LANG, BUKA PELUANG KERJASAMA KOORDINASI

25/10/2024 09:20 PM

GEORGE TOWN, 25 Okt (Bernama) -- Seramai 15 kru kapal layar Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) KLD Tunas Samudera (KLD TSA) mengadakan lawatan ke kapal Po Lang kendalian Angkatan Laut Tentera Pembebasan Rakyat China (PLAN) Po Lang, yang berlabuh di Terminal Kapal Persiaran Jeti Swettenham (SPCT) di sini.

Menurut laman Facebook TLDM, lawatan eksekutif kru KLD TSA yang diketuai Pegawai Memerintah Komander Azmi Abu Zarin itu, merupakan antara aktiviti yang dilaksanakan sepanjang tempoh lawatan operasi PLAN Po Lang ke Malaysia dari 23 hingga 26 Okt.

“Ketibaan kru KLD TSA disambut Pegawai Memerintah PLAN Po Lang Komander Ma Wenyong dan anak kapalnya.

“Lawatan dimulakan dengan sesi taklimat di Geladak Atas, diikuti dengan sesi interaksi aktif yang meliputi perkongsian pengalaman, pengetahuan ilmu kelautan dan pengendalian kapal layar serta turut bertukar-tukar pendapat berkaitan pengurusan pelatih di kapal layar,” menurut hantaran itu.

Program lawatan hari ini juga dipercayai dapat membuka peluang ke arah kerjasama lebih berkoordinasi berkaitan latihan kapal layar pada masa akan datang, sekali gus mempromosikan semangat harmoni serta komitmen berterusan kedua-dua tentera laut, dalam memperkukuh hubungan diplomasi Malaysia dan China.

Menurut Kedutaan China di Malaysia, Kapal Po Lang yang kini dalam misi latihan dan lawatan samudera tiba di SPCT untuk perhentian teknikal selama tiga hari.

SPCT menjadi tumpuan sejak kebelakangan ini, apabila Armada Pasifik Tentera Laut Rusia yang terdiri daripada korvet iaitu GromkiyRezkiy serta Aldar Tsydenzhapov dan kapal sokongan Pecheng berlabuh dari 14 hingga 17 Okt, sementara kapal latihan Qi Jiguang dan kapal JinggangShan 999 dari Zhanjiang, China berlabuh pada 5 Okt.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan