AM

AGENDA PEMBAHARUAN KERAJAAN BERHASIL, LAMPAUI JANGKAAN - FADILLAH

26/10/2024 12:14 PM

PETALING JAYA, 26 Okt (Bernama) -- Agenda pembaharuan kerajaan kini menunjukkan kemajuan yang memberangsangkan dan melebihi jangkaan, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof.

Beliau yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata kejayaan ini adalah hasil usaha semua peringkat pentadbiran, termasuk pihak berkuasa tempatan (PBT) yang memainkan peranan penting dalam memacu pertumbuhan ekonomi negara.

Menurut Fadillah, komitmen kerajaan dalam memperkukuhkan dan melaksanakan tadbir urus yang baik dalam perkhidmatan awam turut memberi kesan positif kepada reformasi ini, seperti yang dapat dilihat melalui beberapa indikator ekonomi yang memberangsangkan.

“Apabila kita bicarakan soal kekuatan ekonomi dan kekuatan ringgit, jelas Malaysia sedang menuju ke arah landasan yang tepat. Ringgit semakin kukuh dengan peningkatan dan limpahan pelaburan asing.

“Kesemua indikator ini adalah hasil disumbangkan secara langsung menerusi hala tuju dan pelaksanaan dasar yang jelas serta didukung dengan kestabilan politik di semua peringkat,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Konvensyen PBT 2024 di sini hari ini.

Fadillah berkata selain itu, penyetempatan pelaburan langsung asing ke Malaysia turut didorong dengan dasar untuk memudah cara urusan perniagaan.

“Usaha yang dilaksanakan PBT bagi mempercepat tempoh kelulusan pelan pemajuan dan kebenaran merancang ini secara tidak langsung diyakini mampu menambah baik persekitaran pelaburan selain meningkatkan daya saing negara.

“Pencapaian ini bukan sekadar untuk dikekalkan namun perlu diperbaiki dan ditingkatkan. Sehubungan itu, momentum komitmen kerajaan dalam usaha pembaharuan dan perubahan dapat digerakkan selaras dengan hala tuju yang telah ditetapkan supaya Malaysia mampu mencapai taraf negara maju,” katanya.

Mengenai Konvensyen PBT 2024, Fadillah yakin bahawa konvensyen yang diadakan selama dua hari bermula hari ini itu akan dapat mencambahkan idea dan perspektif baharu untuk melangkah ke hadapan dalam aspek perancangan bandar.

“PBT bukan sahaja pelaksana dasar, tetapi juga ejen perubahan negara yang mampu memacu pembangunan di peringkat akar umbi. Oleh itu, marilah kita terus memperkukuh sinergi MADANI demi membina sebuah Malaysia yang lebih makmur, harmoni dan sejahtera,” katanya.

Konvensyen ini menghimpunkan PBT di seluruh negara bertujuan untuk meningkatkan kerjasama serta perkongsian strategi antara PBT dalam pelbagai aspek perancangan bandar bagi kepentingan rakyat.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan