AM

RM8 JUTA DIPERUNTUK UNTUK PROGRAM SUBSIDI UJIAN MAMOGRAM TAHUN DEPAN - NORAINI

26/10/2024 02:42 PM

BUKIT MERTAJAM, 26 Okt (Bernama) -- Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) menerima peruntukan RM8 juta bagi meneruskan program subsidi ujian mamogram pada tahun depan, yang dijangka memberi manfaat kepada 35,000 wanita.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata jumlah peruntukan itu meningkat RM2 juta berbanding pada tahun ini iaitu RM6 juta.

“LPPKN terus membantu kaum wanita memerangi gejala kanser payudara melalui program subsidi ujian mamogram, dan saya menyeru golongan wanita untuk menjalankan ujian berkenaan supaya dapat membantu mengenal pasti lebih awal jika dijangkiti kanser itu.

"Sejak 2007 hingga 30 Sept lepas, seramai 525,100 wanita di seluruh negara telah menjalani ujian mamogram melalui program subsidi ujian mamogram LPPKN, dan daripada jumlah itu seramai 1,042 kes telah disahkan positif kanser payudara,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Sambutan Pink Oktober: Bulan Kesedaran Kanser Payudara LPPKN 2024 di sini hari ini.

Turut hadir Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) LPPKN Dr Mohd Azizuddin Mohd Yussof dan bekas pesakit kanser payudara.

Noraini memaklumkan sejak Januari hingga September lepas, seramai 1,630 wanita telah menjalani ujian mamogram itu dengan 335 dirujuk untuk siasatan lanjut manakala dua kes disahkan kanser.

Beliau berkata saringan kanser payudara dilaksanakan melalui ujian mamogram yang ditawarkan secara percuma bagi mereka yang layak di 50 Klinik Nur Sejahtera di seluruh Malaysia termasuk tiga di Pulau Pinang.

“Di negara ini, kanser payudara adalah kanser reproduktif utama menyerang kaum wanita, dan juga penyebab kematian dalam kalangan golongan berkenaan,” katanya.

Berdasarkan statistik Laporan Daftar Kanser Kebangsaan Malaysia, beliau berkata satu nisbah 23 penduduk wanita di Malaysia berisiko mendapat kanser itu, sementara peratus kes kanser payudara yang dikesan pada tahap lewat iaitu tahap 3 dan 4 menunjukkan peningkatan 43.2 peratus antara 2012 hingga 2016 kepada 50.5 peratus pada 2017 hingga 2021.

“Trend itu amat membimbangkan dan jika tiada langkah-langkah awal diambil untuk menggalakkan lebih ramai wanita terutama yang berisiko menjalani ujian saringan menerusi mamogram, maka kemungkinan lebih ramai wanita dikesan kanser pada tahap lewat,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan