AM

DUKUNG SEMANGAT ASEAN UNTUK BINA PERSEKITARAN DAYA SAING POSITIF - JOHARI

26/10/2024 03:54 PM

KUALA LUMPUR, 26 Okt (Bernama) -- Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul berkata hubungan dua hala yang erat antara Malaysia dan Vietnam khususnya dalam perdagangan penting sebagai langkah strategik untuk mengukuhkan kerjasama serantau.

Johari yang juga Presiden Perhimpunan Antara Parlimen ASEAN (AIPA) ke-46 berkata memandangkan kedua-dua negara bersaing dalam sektor perdagangan, maka penting untuk mengambil pendekatan kerjasama yang mendorong pertumbuhan bersama berbanding melihat antara satu sama lain sebagai pesaing semata-mata.

“Walaupun kita adalah pesaing, kita perlu mendukung semangat ASEAN dan mengutamakan persekitaran persaingan yang positif… dengan berkongsi data, pengalaman dan teknologi, kita mampu maju bersama-sama dalam ekosistem yang dikongsi ini,” katanya pada sidang media selepas menyampaikan ucaptama pada Forum Ekonomi Belia (YEF) 2024 Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) di sini hari ini.

Beliau berkata persaingan positif mencerminkan satu trend yang lebih luas dalam kalangan negara anggota ASEAN, dengan kerjasama dilihat sebagai penting untuk kemajuan bersama.

Sebelum ini Johari mengadakan lawatan rasmi tiga hari ke Vietnam bermula 23 Okt atas jemputan rakan sejawatnya Tran Thanh Man.

Lawatan Johari diiringi delegasi Parlimen Malaysia yang menghadiri AIPA ke-45 di Vientiane, Laos.  

Antara perkara dibincangkan Johari dengan Thanh Man semasa pertemuan di Hanoi ialah meneroka lebih banyak peluang untuk bekerjasama dan memainkan peranan dalam memastikan ASEAN kekal sebagai blok yang berdaya tahan dan bersatu.

-- BERNAMA 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan