AM

PEMILIK DIMINTA PERIKSA PREMIS BERUSIA LEBIH 10 TAHUN, PASTIKAN SELAMAT

26/10/2024 04:20 PM

MELAKA, 26 Okt (Bernama) -- Pemilik premis bangunan berusia lebih 10 tahun di negeri ini diminta melakukan pemeriksaan dan penyelenggaraan secara berkala bagi memastikan ia sentiasa selamat terutamanya di kawasan tumpuan awam.

Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin berkata langkah itu penting untuk mengelak risiko kejadian tidak diingini hingga boleh menyebabkan kemalangan.

"Setiap bangunan persendirian perlu mempunyai sijil kelayakan menduduki (CF) yang memperakui bahawa bangunan atau struktur yang dibina itu telah siap dan memenuhi syarat-syarat serta selamat untuk digunakan.

"CF yang dikeluarkan ini mempunyai tempoh masa tertentu selepas dari itu ia bergantung kepada tanggungjawab pemilik untuk menjaga bangunan masing-masing," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Sejahterakan Bandarayaku Dewan Undangan Negeri Ayer Molek di sini hari ini.

Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri Ayer Molek Datuk Rahmad Mariman dan Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) Datuk Shadan Othman.

Mengenai kejadian kanak-kanak berusia tujuh tahun maut dipercayai selepas ditimpa rekahan simen rumah kedai yang terjatuh ke atasnya di Kompleks Perniagaan Al-Azim di Bukit Baru di sini Selasa lepas, beliau berkata pihaknya menerusi MBMB telah mengeluarkan notis kepada pemilik untuk melihat semula struktur bangunan terbabit.

"Kalau didapati ada yang tidak betul dan sebagainya, kita arahkan pihak berkuasa tempatan untuk ambil tindakan terhadap pemilik bangunan supaya kejadian sama tidak berulang di tempat lain," katanya.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan