AM

SEKOLAH PERTAMA TUMPU PENDIDIKAN ANAK AUTISTIK BAKAL DIBINA DI MUKIM PULAI

27/10/2024 09:26 AM

Oleh Nur Fadhliana Shaari

JOHOR BAHRU, 27 Okt (Bernama) -- Sekolah pendidikan khas yang memberikan tumpuan sepenuhnya kepada murid autistik dirancang dibina di mukim Pulai di sini.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Negeri Johor Aznan Tamin berkata cadangan berhubung pembinaan sekolah bagi anak-anak autistik pernah disuarakan Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi kepada Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek pada akhir tahun lepas.

Justeru, beliau berkata pengumuman pembinaan sekolah itu pastinya menjadi ‘hadiah’ terbaik kepada Ibu bapa khususnya di Johor yang mengharapkan anak-anak istimewa tidak tercicir dari aspek pembelajaran dan pengurusan kendiri.

“Segala perancangan terperinci mengenai sekolah ini akan dimaklumkan pihak Kementerian Pendidikan (KPM),” katanya ketika dihubungi Bernama. 

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2025 baru-baru ini mengumumkan pembinaan dua sekolah baharu murid berkeperluan khas di Tuaran, Sabah dan Johor Bahru, Johor melibatkan kos RM300 juta.

Sekolah di Johor Bahru bakal menjadi sekolah pertama yang memberi tumpuan sepenuhnya kepada pendidikan untuk autistik.

Sementara itu, Pengarah Klinikal IndeBrain Occupational Therapy Solutions, sebuah pusat terapi anak-anak istimewa, Siti Noraisikin Mohd Jazuli berkata pembinaan sekolah berkenaan amat diperlukan memandangkan peningkatan jumlah kanak-kanak autistik di negara ini.

Beliau berkata mengikut statistik Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), jumlah kanak-kanak autistik menunjukkan peningkatan drastik dalam tempoh 10 tahun terakhir dengan tahun lepas sahaja merekodkan 53,323 orang didiagnosis menghidap autisme.

Siti Noraisikin berkata antara kerisauan utama ibu bapa adalah kekurangan kemudahan untuk anak-anak istimewa mendapatkan pendidikan di sekolah terutama dalam Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI).

“Di Malaysia terdapat pusat perkembangan awal bagi memenuhi keperluan anak istimewa ini terutama anak-anak autistik, namun isu utama selalunya adalah melibatkan kewangan kerana kos bagi menghantar anak-anak ke pusat perkembangan swasta agak tinggi berbanding menghantar ke sekolah aliran perdana.

“Oleh itu, kami menyambut baik pengumuman menerusi Belanjawan 2025 ini dalam menyediakan kemudahan dan memberi keutamaan kepada anak berkeperluan khas,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan