AM

PELANTIKAN SEBAGAI PENASIHAT PELABURAN MASYARAKAT CINA TIDAK JEJASKAN KEDUDUKAN PRESIDEN MCA

27/10/2024 04:22 PM

TEMERLOH, 27 Okt (Bernama) -- Pengerusi Barisan Nasonal (BN) Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata pelantikan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong sebagai Penasihat Pelaburan Masyarakat Cina di Malaysia tidak menjejaskan imej atau kedudukan beliau sebagai Presiden MCA.

Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata pelantikan itu adalah atas kesefahaman bersama sebagai penghargaraan dan bagi memastikan pelaburan direalisasikan untuk kemajuan negara. 

“Ini persefahaman antara kami berdua dan sebagai penghargaan kepada peranan beliau yang boleh membawa pelabur dari China (dan) untuk membantu saya sebagai Pengerusi Majlis Pembangunan Industri Halal.

“Saya umumkan pelantikannya ketika beliau mengikut rombongan saya ke Shanghai (China) bulan lepas dan secara umum di Perhimpunan Agung Tahunan MCA ke-71 minggu lepas. (Pelantikannya) berdasarkan pada latar belakang dan pengalaman beliau,” katanya. 

Ahmad Zahid berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Konvensyen BN Negeri Pahang 2024 di Dewan Tun Razak di sini hari ini, yang turut dihadiri Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan Setiausaha Agung BN Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.

Ahmad Zahid berkata menerusi pelantikan itu Wee antara lain akan mengambil langkah-langkah susulan, dalam menyenaraikan bakal pelabur China untuk melabur dalam industri halal negara. 

Beliau berkata demikian bagi mengulas tindakan beberapa pemimpin MCA yang didakwa tidak berpuas hati dengan pelantikan Wee kerana berpandangan lantikan itu tidak sepadan dengan status sebagai ketua parti komponen BN yang lazimnya diberikan jawatan menteri. 

Wee bagaimanapun menerusi laporan sebuah portal semalam, menggesa ahli MCA untuk berpandangan jauh dan menyatakan beliau terdorong untuk memanfaatkan hubungan parti dengan kerajaan China serta menjadikan lantikan itu sebagai platform mempromosikan hubungan baik dan kerjasama antara kedua-dua negara.

Sementara itu Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata beliau menyerahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa untuk menyiasat kejadian mengibar bendera asing yang didakwa berlaku pada perarakan di Dataran Menara Condong, Teluk Intan, Perak baru-baru ini. 

“Kita telah serahkan (pada) pihak PDRM (Polis Diraja Malaysia) untuk melakukan siasatan dan kita memberikan kepercayaan sepenuhnya hasil siasatan berkenaan,” katanya.

Semalam Ketua Polis Perak Datuk Azizi Mat Aris mengesahkan perarakan pada malam Khamis lepas itu melanggar syarat permit dikeluarkan kepada penganjur, dan polis telah merakam percakapan beberapa individu termasuk pihak penganjur dan warga China bagi membantu siasatan. 

-- BERNAMA

 

 

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan