AM

BAZAR DEEPAVALI JALAN TRUS MERIAH, PENGUNJUNG MANFAAT CUTI HUJUNG MINGGU

27/10/2024 07:07 PM

Oleh Nur Fadhliana Shaari

JOHOR BAHRU, 28 Okt (Bernama) -- Berbaki tiga hari lagi penganut Hindu akan meraikan Deepavali dan ketika ini pasti ramai sibuk membuat persiapan membeli barang keperluan.

Tinjauan Bernama di Bazar Deepavali di Jalan Trus di sini mendapati kawasan ini menjadi tumpuan ribuan masyarakat India sama seperti tahun-tahun sebelumnya.

Rata-rata yang ditemui memanfaatkan cuti hujung minggu dengan membawa ahli keluarga membeli-belah malah premis perniagaan juga sudah mula menawarkan promosi serta diskaun hebat bagi pelbagai barangan terutama pakaian.

Anak kelahiran Johor Bahru yang bekerja di Singapura yang mahu dikenali sebagai Devi Kausalyah, 28, berkata beliau tidak mahu terlepas peluang untuk berkunjung ke bazar Deepavali itu kerana semua kelengkapan ada dijual di situ.

“Persiapan saya tidak terlalu awal dan tidak terlalu lewat. Saya sudah datang ke sini untuk kali kedua, (kali pertama) saya beli biskut dan hari ini saya dan suami datang untuk beli baju pula. Di sini semua cukup dan harga pun mampu milik.

“Tahun ini saya dapat rasakan sambutan lebih meriah dan tahun ini kami tidak balik kampung kerana ibu bapa, sanak saudara semua akan beraya di rumah saya di Iskandar Puteri jadi kemeriahan itu saya dapat rasakan,” katanya yang sudah mengambil cuti seminggu hingga Sabtu depan.

Bagi Vheisnavy Murugan, 18, pula persiapan dan sambutan Deepavali tahun ini sangat meriah berbanding tahun sebelumnya.

Dia yang akan pulang ke kampung halaman di Seremban berkata persiapan Deepavali belum lagi selesai kerana dia selesa untuk membuat dan membeli kelengkapan di saat-saat akhir.

“Untuk saya pula, rasa lebih teruja nak sambut Deepavali itu kerana tahun lepas kami tidak beraya kerana ada ahli keluarga kami meninggal dunia jadi tahun ini baru nak rasa kemeriahan.

“(Persiapan) belum buat lagi, ‘last minit’ juga ... nanti saya akan cari biskut dan barang lain kecuali baju kerana ibu saya sedang buat baju Deepavali untuk saya. Di sini pun banyak barang dengan harga yang sederhana … jadi tidak rugi datang sini,” katanya.

Sementara itu, pemilik Sivathi Bridal S Sivathi, 42, turut mengakui kemeriahan kian dirasai berbaki beberapa hari menjelang Deepavali pada Khamis ini.

Peniaga itu berkata perkhidmatan melukis inai yang beroperasi di bazar selama 25 hari itu sentiasa penuh dikunjungi bukan sahaja kaum India malah pelanggan Melayu, Cina dan warga asing.

“Saban tahun sentiasa meriah, pelanggan tidak pernah berkurangan, pelanggan tetap datang, pelanggan baru semua seronok untuk mengukir inai. Semua hendak kelihatan cantik meskipun inai bukanlah wajib untuk kaum India tapi ia trend untuk kelihatan cantik pada hari penting itu.

"Macam saya sendiri … saya orang berniaga jadi saya fokus berniaga dahulu kemudian baru saya fikir untuk persiapan saya dan keluarga pula,” katanya.

Perkhidmatan melukis inai dikenakan caj serendah RM10 hingga RM50.

“Ada pelanggan saya yang tidak kisah untuk buat inai murah atau mahal, ada yang sanggup buat inai RM50 satu tangan.

“Ada masa pelanggan datang boleh cecah lebih 50 orang sehari dan ada masa mencecah ratusan pelanggan seperti semalam terlalu ramai hingga 1.30 pagi," katanya yang mempunyai dua cawangan bridal di Pandan dan juga di Johor Jaya.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan