AM

ORANG RAMAI BOLEH MULA TONTON DOKUMENTARI KHAS ISTIADAT PERTABALAN YDPA KE-17

27/10/2024 11:28 PM

KUALA LUMPUR, 27 Okt (Bernama) -- Orang ramai boleh mula menonton dokumentari khas mengenai Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-17 Sultan Ibrahim pada 8 malam ini.

Dokumentari khas bertajuk Takhta Raja Payung Negara: Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-17 berdurasi 38.05 minit itu disiarkan di platform rasmi YouTube Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.

Menurut hantaran di laman Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, dokumentari itu memberi tumpuan kepada detik-detik bersejarah upacara pertabalan, aspek budaya, tradisi serta persiapan di sebalik peristiwa penting itu.

“Istiadat ini juga menonjolkan warisan institusi Diraja Malaysia, dengan setiap elemen majlis pertabalan dirancang dengan teliti, melambangkan kedaulatan dan kedudukan Yang di-Pertuan Agong sebagai Ketua Negara Malaysia,” katanya. 

Menerusi dokumentari itu, rakyat dapat melihat lebih dekat proses, persiapan dan keunikan istiadat berkenaan sekali gus memberi penghormatan kepada adat Istiadat Diraja yang diamalkan sejak turun-temurun.

Dokumentari itu diterbitkan oleh Johor Royal Press Office dengan kerjasama Unit Komunikasi Korporat Istana Negara.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan