EKONOMI

INDUSTRI PERMAINAN DIGITAL JANA RM45 JUTA JUALAN, EKSPORT SEJAK 2014 - GOBIND

28/10/2024 12:36 PM

KUALA LUMPUR, 28 Okt (Bernama) -- Industri permainan digital Malaysia mencatat hasil jualan dan eksport sebanyak RM45 juta melalui dana yang telah disediakan oleh kerajaan bagi tempoh 2014 hingga 2024, kata Menteri Digital Gobind Singh Deo.

Beliau berkata sehingga kini, sejumlah 60 projek telah diluluskan oleh Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) dengan jumlah keseluruhan dana sebanyak RM36.7 juta bagi pembangunan permainan digital, meliputi platform komputer, konsol dan mudah alih.

Menurutnya MDEC telah menerima peruntukan Dana Kandungan Digital sebanyak RM163 juta bagi menjalankan dan menyelia bantuan kewangan kepada industri animasi, permainan digital, komik digital dan kandungan teknologi kreatif dari 2014 hingga 2024.

"Kesemua projek ini telah berjaya mewujudkan lebih daripada 700 peluang pekerjaan, sekali gus membuktikan industri permainan digital di Malaysia memiliki potensi besar untuk dimajukan melalui sokongan kerajaan dalam akses pasaran, inkubator, persidangan, bengkel, program menambah kemahiran dan latihan semula," katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan Syahredzan Johan (PH-Bangi) yang ingin tahu mengenai permainan digital tempatan yang telah menerima dana daripada MDEC sejak 2014 sehingga kini serta jumlah dana yang diterima bagi setiap permainan dan hasil jualan bagi setiap permainan.

Gobind berkata, menurut laporan pasaran permainan global Newzoo, hasil permainan global dianggarkan bernilai US$187.7 bilion (US$1=RM4.34) pada 2024 dan dijangka meningkat sehingga US$213.3 bilion pada 2027 dengan kadar pertumbuhan tahunan kompaun sebanyak 3.1 peratus (2022-2027).

Menurutnya, bagi meningkatkan promosi dan pemasaran permainan digital tempatan, MDEC telah menyediakan platform dan peluang bagi syarikat-syarikat untuk meneroka akses pasaran.

"Antara pasaran permainan digital yang sering disertai termasuk Games Developer Conference di Amerika Syarikat, Tokyo Game Show di Jepun, China Joy di China dan Gamescom di Eropah," katanya.

-- BERNAMA

 

 

 


 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan