AM

PEROSAK ASET BEKALAN AIR WAJAR DIKENAKAN DENDA SETIMPAL - JULAIHI

28/10/2024 12:58 PM

KUCHING, 28 Okt (Bernama) -- Ordinan Air Sarawak perlu disemak semula bagi memasukkan peruntukan denda yang setimpal terhadap mana-mana pihak yang menyebabkan kerosakan aset bekalan air di negeri itu.

Menteri Utiliti dan Teknologi Sarawak Datuk Seri Julaihi Narawi berkata aset air termasuk paip agihan utama dan kemudahan kawasan tadahan perlu sentiasa dalam keadaan baik bagi memastikan bekalan air terawat dan bersih tidak terjejas.

“Jangan (ada paip) rosak, pecah dan bocor disebab kecuaian dan tidak teliti, tidak peka, tidak cermat pihak lain yang menjalan kerja berhampiran aset air atau di jajaran paip agihan utama atau disebabkan oleh aktiviti vandalisme. Denda yang setimpal wajar dipertimbangkan pada masa akan datang,” katanya.

Dalam satu hantaran di laman Facebook rasminya, Julaihi berkata penggabungan agensi bekalan air di Sarawak terdiri daripada LAKU Management Sdn Bhd, Lembaga Air Kuching (KWB) dan Lembaga Air Sibu (SWB) sedang dilakukan.

“Untuk meningkatkan tahap pengurusan termasuk keberkesanan membekal air terawat dan bersih, penggabungan LAKU, KWB dan SWB di bawah satu entiti baharu dengan nama baharu sedang dilakukan dan akan menjadi realiti sedikit masa lagi,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan sebanyak 38 lagi kawasan tadahan air di Sarawak sudah dikenal pasti untuk diwartakan selain daripada 28 kawasan tadahan sedia ada di negeri itu.

-- BERNAMA

 

 


 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan