JENAYAH & MAHKAMAH

POLIS TAHAN GENG BAIM CURI KABEL

28/10/2024 02:25 PM

KUALA TERENGGANU, 28 Okt (Bernama) -- Polis  menahan seorang ahli kumpulan Geng Baim yang  aktif mencuri kabel telekomunikasi di negeri ini manakala tiga lagi masih diburu.

Ketua Polis Terengganu Datuk Mohd Khairi Khairudin berkata lelaki warga tempatan berusia 42 tahun itu ditahan kira-kira 5.40 pagi Jumaat lepas menerusi Op Lusuh di Jalan Durian Mentangau-Citrus, di Dungun.

Beliau berkata ketika menjalankan operasi, anggota polis terserempak dengan suspek bersama tiga lagi ahli kumpulan sedang menaiki kenderaan pacuan empat roda dalam keadaan mencurigakan.

"Polis mendapati bonet Mitsubishi Triton yang menggunakan nombor pendaftaran palsu yang dinaiki suspek dipenuhi objek hitam disyaki potongan kabel.

"Sebaik menyedari kehadiran polis, suspek telah memecut kenderaan dan masuk ke lorong berdekatan hutan. Suspek memberhentikan kenderaan secara mengejut sebelum keempat-empatnya keluar melarikan diri ke dalam hutan tersebut," katanya dalam sidang media selepas majlis pelupusan barang kes Jabatan Siasatan Jenayah Kontingen Terengganu 2024 di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu, di sini hari ini.

Mohd Khairi berkata siasatan awal mendapati suspek yang bekerja sebagai buruh itu memiliki tujuh rekod kesalahan jenayah dan 14 kes dadah serta didapati positif dadah jenis metamfetamina.

"Kita juga telah mengenal pasti tiga lagi suspek yang melarikan diri. Mereka berusia antara 29 hingga 35 tahun dan memiliki banyak rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah,” katanya sambil menambah kumpulan itu dipercayai aktif sejak April lepas.

Beliau berkata usaha memburu baki suspek giat dijalankan dan polis percaya ketiga-tiga mereka masih berada di Dungun.

Suspek yang ditangkap direman empat hari bermula Sabtu dan kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan, katanya.

Sementara itu, Mohd Khairi berkata 1,272 kes jenayah direkodkan dalam sembilan bulan pertama tahun ini iaitu peningkatan 24.6 peratus berbanding 1,021 kes bagi tempoh sama pada 2023.

"Bagi penyelesaian kes pula, kita telah berjaya mencatatkan 974 kes bersamaan dengan 76.57 peratus, sekali gus melepasi Petunjuk Prestasi Utama (KPI) ditetapkan Bukit Aman," katanya.

-- BERNAMA

 

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan