AM

99 PEMEGANG LESEN CSA DI TAWAU KOMITED JAYAKAN 'KITA GEMPUR'

28/10/2024 03:16 PM

TAWAU, 28 Okt (Bernama) -- Sebanyak 99 pemegang lesen barang kawalan berjadual (CSA) di sini menzahirkan komitmen untuk menjayakan inisiatif Gerakan Membanteras Manipulasi dan Ketirisan menerusi program ‘Kita Gempur’ bermula di sini hari ini.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali berkata inisiatif berkenaan bukan hanya digerakkan kementeriannya tetapi juga perlu mendapat kerjasama daripada pemegang taruh seperti dimaksudkan dalam akronim 'Kita' iaitu kerajaan, industri, tatakelola dan awam.

"Rakan strategik industri dalam konteks KPDN (Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup) termasuk pemegang lesen CSA dan pengusaha stesen minyak, manakala rakan strategik kerajaan seperti agensi penguat kuasa termasuk Jabatan Imigresen, Jabatan Kastam Diraja Malaysia dan Jabatan Pengangkutan Jalan.

"KPDN tidak mempunyai kuasa perundangan untuk mengawal sempadan sebab itu kita memerlukan bantuan kebersamaan daripada rakan strategik ini," katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan program Kita Gempur@Tawau bersama rakan strategik kepenggunaan di sini hari ini.

Sebanyak 99 rakan strategik terdiri daripada 30 syarikat pengangkutan, 29 pengusaha stesen minyak, tujuh syarikat pembungkusan minyak masak, 12 wakil pengguna setempat serta 21 pemborong dan peruncit sekitar Tawau telah menandatangani surat akujanji untuk terlibat dalam program tersebut.

Armizan berkata KPDN akan memperluaskan gerakan itu dengan mendapatkan komitmen daripada semua pemegang lesen CSA di setiap negeri.

"Inisiatif ini dapat mengurangkan ketirisan barang kawalan bersubsidi seterusnya memastikan dana awam yang disalurkan melalui subsidi kerajaan sampai kepada golongan sasaran.

“Misalnya, syarikat pengangkutan ini bertanggungjawab menyediakan perkhidmatan mengangkut tujuh barangan kawalan dan barangan kawalan bersubsidi iaitu beras, gula, tepung gandum, minyak masak, Liquified Petroleum Gas (LPG), petrol RON95, dan diesel," katanya.

Terdahulu, Armizan dalam ucapannya berkata pada 2023 kerajaan menanggung RM81 bilion nilai subsidi dalam pelbagai bentuk, dan kira-kira RM50 bilion untuk subsidi kepenggunaan.

"Begitu besarnya jumlah subsidi diberikan kerajaan tetapi kita masih berhadapan dengan isu rakyat yang mengadu, marah dengan KPDN kerana katanya subsidi itu tidak sampai kepada mereka. 

“Saya bagi contoh minyak masak paket, kalau ikut pengeluaran 60,000 tan metrik sebulan, itu sepatutnya kita ada 60 juta paket minyak masak di pasaran setiap bulan, tapi ke mana minyak masak paket ini," katanya.

Justeru, beliau meminta semua pihak termasuk orang ramai untuk menjadi mata dan telinga kerajaan dalam menyalurkan maklumat berkaitan sebarang bentuk aktiviti penyelewengan dan penyeludupan agar kegiatan itu dapat dibanteras.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan