EKONOMI

ECERDC KOMITED TERUSKAN USAHA TARIK PELABURAN NILAI TINGGI TERUTAMA DI PAHANG - HANIFAH

28/10/2024 05:20 PM

KUALA LUMPUR, 28 Okt (Bernama) -- Kerajaan melalui Majlis Pembangunan Wila­yah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) akan terus menumpukan usaha menarik pelaburan swasta dan merealisasikan projek pelaburan bernilai tinggi di Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) terutama di Taman Teknologi Pahang (PTP) dan Taman Industri Halal Gambang (GHP).

Timbalan Menteri Ekonomi Datuk Hanifah Hajar Taib berkata usaha itu termasuk Synapse Network Sdn Bhd, berdaftar di Malaysia dan berpangkalan di Toronto, Kanada yang telah menandatangani perjanjian pajakan selama 10 tahun untuk memindahkan operasi sedia ada dari Hong Kong ke PTP.

"Syarikat itu merancang untuk memulakan pembangunan di atas tanah seluas 1.21 hektar di PTP pada suku keempat 2024 dan telah mengemukakan permohonan insentif kepada ECERDC dan dalam pertimbangan Kementerian Kewangan," katanya pada Sesi Kamar Khas di Dewan Rakyat hari ini.

Hanifah Hajar berkata selain itu, sebuah syarikat berpangkalan di Singapura yang mengendalikan enam pusat data di tiga negara Asia, termasuk Malaysia, juga sedang meneliti pelan perniagaan di PTP untuk membina and mengoperasi pusat data berkapasiti 250 megawatt (MW) dan dijangka memuktamadkan keputusan pelaburan itu suku ketiga 2025. 

Di samping itu, usaha sama sebuah syarikat swasta tempatan dan Perbadanan Kemajuan Negeri Pahang (PKNP) untuk membina pusat data berkapasiti tiga megawatt dan sedang menjalankan kajian kebolehlaksanaan yang dijangka selesai pada suku pertama 2025, katanya.

Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (Perodua) pula merancang untuk membangunkan pusat logistik dan pemasangan kenderaan di ECER di atas tanah seluas 8.90 hektar serta menggunakan stesen Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) di Stesen Paya Besar bagi pengedaran kenderaan mereka di ECER. 

Perodua juga, kata beliau, bercadang untuk menggunakan Pelabuhan Kuantan bagi penghantaran kenderaan ke Sabah dan Sarawak.

“Perbincangan ECERDC dan Perodua sedang dijalankan dan pihak Perodua sedang meneliti pelan perniagaan dan pembangunan yang dijangka dimuktamadkan pada 2025," katanya.

Mengulas status pelaburan di Cybercentre, beliau berkata ECERDC melalui anak syarikatnya, Pusat Kecemerlangan Asia untuk Teknologi Pintar (ACES) bekerjasama dengan Gentari yang juga pengusaha dan pengendali pusat pengecasan untuk operasi empat tapak pengecasan kenderaan elektrik (EV), sekali gus menyokong agenda nasional meningkatkan penggunaan EV. 

ACES juga telah bekerjasama dengan CS MedTec, sebuah syarikat teknologi tempatan yang khusus dalam bidang perubatan melalui inovasi percetakan tiga dimensi (3D), untuk berpindah dari Singapura dan Thailand ke Malaysia, khususnya ke Cybercentre bagi memenuhi permintaan pasaran tempatan dalam industri perubatan.

Bagi GHP, Hanifah Hajar berkata ECERDC sedang dalam proses perbincangan dengan tiga syarikat berpotensi antaranya untuk membangunkan pusat pemasangan kenderaan rekreasi bagi pasaran Asia; menjalankan aktiviti perdagangan makanan dan perkhidmatan awam dan membangunkan Taman Penyelidikan Benih Tropika. 

ECERDC juga berkerjasama rapat dengan agensi seperti Perbadanan Pembangunan Halal (HDC) dan kerajaan negeri untuk membawa masuk pelaburan-pelaburan halal ke GHP terutama untuk industri makanan, farmaseutikal dan kosmetik, kata beliau.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan