EKONOMI

PDAM KOMITED TAMBAH BAIK KEMUDAHAN STESEN MINYAK

28/10/2024 06:17 PM

Oleh Siti Radziah Hamzah

KUALA LUMPUR, 28 Okt (Bernama) -- Presiden Persatuan Pengusaha-Pengusaha Stesen Minyak Malaysia (PDAM) komited untuk meneroka penyelesaian agar seiring dengan visi Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk semua pengusaha stesen minyak menambah baik kemudahan di premis mereka.

PDAM adalah organisasi mewakili pelbagai persatuan peniaga petrol.

Keahliannya termasuk persatuan daripada jenama utama seperti Petronas, Shell, Petron, Caltex dan BHPetrol serta kumpulan serantau, antaranya peniaga di Perak dan Sabah.

Setiausaha Agungnya Bashir Ab Razak berkata penyelenggaraan berkala sentiasa menjadi keutamaan persatuan itu.

Beliau berkata kemudahan seperti tandas dan surau diperiksa sekurang-kurangnya setiap jam untuk memastikan ia bersih dan semua kemudahan dalam keadaan sempurna manakala audit berkala dilakukan oleh syarikat minyak, pihak berkuasa tempatan (PBT) dan entiti pihak ketiga mengukuhkan lagi komitmen mereka terhadap kualiti.

“Kami menghargai dan menerima nasihat Perdana Menteri...ia adalah cabaran untuk kami terus menambah baik perkhidmatan dan kemudahan untuk orang ramai. Bagaimanapun, menaik taraf kemudahan secara menyeluruh menimbulkan kebimbangan dari segi kewangan bagi kebanyakan banyak stesen minyak.

“Industri berkenaan kini menghadapi tekanan kewangan susulan pelaksanaan Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) 2.0 menyebabkan kos operasi lebih tinggi,” katanya kepada Bernama.

Bashir berkata apabila menaik taraf stesen minyak, kekangan kewangan yang dihadapi oleh kebanyakan stesen minyak menimbulkan cabaran.

"Dengan margin peniaga ketika ini menghadapi tekanan daripada kenaikan kos, semakan semula adalah penting untuk memastikan kami dapat memenuhi harapan orang ramai untuk menjalankan penambahbaikan secara berterusan pada kemudahan di stesen minyak," katanya.

Perdana Menteri baru-baru ini melakukan pemeriksaan infrastruktur, kemudahan tandas dan surau untuk orang ramai di stesen Petronas di Presint 16, Putrajaya.

Dalam catatan Facebook, beliau telah menasihatkan semua pengusaha stesen minyak supaya menambah baik kemudahan di premis mereka untuk memberi manfaat kepada orang ramai.

Menaik taraf kemudahan tersebut boleh meningkatkan kualiti dan perkhidmatan ke tahap yang lebih tinggi untuk keselesaan orang ramai, katanya.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan