EKONOMI

BLACKBERRY TUBUHKAN IBU PEJABAT KESELAMATAN SIBER SERANTAU APAC DI MALAYSIA

28/10/2024 06:38 PM

KUALA LUMPUR, 28 Okt (Bernama) -- BlackBerry Ltd yang berpangkalan di Kanada menubuhkan ibu pejabat serantau Asia Pasifik (Apac) bagi bahagian keselamatan sibernya di Cyberjaya, yang kini beroperasi sepenuhnya.

Penyedia perisian dan perkhidmatan keselamatan pintar itu berkata pembukaan ibu pejabat baharu dan pengembangan serantau itu memperlihatkan komitmen berterusan BlackBerry terhadap kerajaan Malaysia, berikutan perjanjian keselamatan siber penting yang diumumkan pada November 2023.

"BlackBerry bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) untuk menubuhkan Pusat Kecemerlangan Keselamatan Siber, kemudahan latihan bertaraf dunia untuk membantu meningkatkan kemahiran tenaga kerja negara," kata syarikat itu dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil menyambut baik langkah BlackBerry untuk menubuhkan ibu pejabat serantaunya di Malaysia.

"Langkah ini bukan sahaja memberi kebaikan kepada Malaysia malah akan membolehkan rantau ini memanfaatkan penyelesaian keselamatan siber terkini yang ditawarkan oleh BlackBerry," katanya.

Naib Presiden Keselamatan Siber BlackBerry bagi Apac, Tash Stamatelos berkata Malaysia adalah pasaran yang penting secara strategik bagi BlackBerry.

Menurutnya syarikat itu berbangga dengan penubuhan ibu pejabat Apac baharu di sini sebagai sebahagian daripada rancangan pengembangan serantaunya.

"Berikutan peranan negara ini sebagai Pengerusi ASEAN 2025, kami memuji usaha Malaysia dalam memajukan transformasi digital dan kerjasama serantau dalam bidang seperti keselamatan siber, dan pelaburan berterusan dalam kemahiran, inovasi dan infrastruktur untuk meningkatkan ekonominya," katanya.

Pasukan BlackBerry di Malaysia meliputi bahagian jualan, pemasaran, penyelidikan ancaman, sokongan teknikal, perkhidmatan profesional, pentadbiran, pengurusan dan jurulatih keselamatan siber berkemahiran yang kesemuanya berperanan untuk menyokong pejuang siber di seluruh Malaysia dan rantau ini.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan