JENAYAH & MAHKAMAH

SAMAN FITNAH BEKAS MENANTU: CHEF WAN TARIK BALIK PERMOHONAN BAGI KEBENARAN MERAYU

28/10/2024 09:13 PM

PUTRAJAYA, 28 Okt (Bernama) -- Chef selebriti Datuk Redzuawan Ismail menarik balik permohonan untuk mendapatkan kebenaran merayu terhadap keputusan yang memerintahkan beliau membayar ganti rugi RM150,000 kepada bekas menantunya berhubung penerbitan berunsur fitnah di platform media sosial.

Panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan yang diketuai Hakim Besar Sabah dan Sarawak Tan Sri Abdul Rahman Sebli kemudian membatalkan permohonan itu dan mengarahkan Redzuawan, atau lebih dikenali sebagai Chef Wan, membayar kos RM5,000 kepada Gavin Edward O’Luanaigh.

Turut bersidang Datuk Seri Hasnah Mohammed Hashim dan Datuk Abu Bakar Jais.

Terdahulu, peguam Chef Wan iaitu Nur Adilah Nabilah Abdull Jamal telah memaklumkan mahkamah mengenai penarikan permohonan berkenaan.

Peguam Nuu Khidmah Huzaisham yang mewakili O’Luanaigh pula berkata beliau tidak membantah penarikan permohonan itu namun memohon agar mahkamah memberikan kos kepada anak guamnya.

Susulan itu, keputusan Mahkamah Rayuan agar Chef Wan membayar RM150,000 sebagai ganti rugi am, teruk dan teladan kepada O’Luanaigh adalah kekal. 

Nur Adilah kemudian mengesahkan kepada media bahawa Chef Wan telah membuat pembayaran ganti rugi itu kepada O’Luanaigh.

Pada 20 Jun lepas, Mahkamah Rayuan membenarkan permohonan O’Luanaigh dan memutuskan bahawa hantaran Chef Wan di media sosial telah memfitnah beliau.

Mahkamah sama turut mengeluarkan injunksi kekal yang melarang Chef Wan daripada terus menerbitkan kenyataan berbaur fitnah terhadap O’Luanaigh dan memerintahkan beliau membayar faedah lima peratus setahun atas jumlah penghakiman dari tarikh saman difailkan sehingga tarikh penyelesaian penuh.

O’Luanaigh, yang memeluk agama Islam dan dikenali sebagai Salahudin Ghaffar, telah berkahwin dengan anak perempuan Chef Wan iaitu pelakon Serina pada 2010 sebelum mereka bercerai pada Ogos 2017.

O'Luanaigh memfailkan saman itu pada Februari 2021 atas dakwaan lapan daripada hantaran Chef Wan di media sosial telah memfitnah beliau serta isterinya sekarang.

Pernyataan pembelaan Chef Wan pula mendakwa bahawa kenyataan beliau adalah fakta, komen yang adil, di bawah perlindungan mutlak serta bersyarat dan dibuat tanpa sebarang niat jahat. 

Pada 11 Mei 2023, Mahkamah Tinggi Shah Alam telah mengeluarkan injunksi separa yang menghalang Chef Wan daripada menerbitkan kenyataan berbaur fitnah terhadap O’Luanaigh dan memerintahkan beliau agar membuang kelapan-lapan hantaran. 

Hakim Rozi Bainon bagaimanapun memutuskan bahawa kenyataan itu tidak mempunyai unsur fitnah atau diterbitkan dengan niat jahat.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan