AM

PENYASARAN SUBSIDI: KERAJAAN TERUS PERTAHAN KEPENTINGAN 85 PERATUS RAKYAT - PM ANWAR

29/10/2024 12:22 PM

KUALA LUMPUR, 29 Okt (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan kerajaan akan terus mempertahankan kepentingan 85 peratus rakyat dalam pelaksanaan penyasaran subsidi petrol RON95 yang dicadangkan pada pertengahan tahun depan.

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata hanya golongan T15 serta warga asing akan dikenakan harga pasaran tanpa subsidi yang dilihat sebagai satu langkah wajar.

"Yang penting di sini adalah bahawa subsidi tidak membebankan 85 peratus rakyat, jadi sepatutnya kita janganlah jadi jaguh T15 seperti yang disuarakan banyak (pihak) dan macam-macam (oleh) pembangkang.

“...wajar kita kenakan bayaran semasa ikut (harga) pasaran kepada golongan mahakaya dan teratas, itu pun tak boleh?” kata beliau pada sesi Waktu-Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Perdana Menteri menjawab soalan Khoo Poay Tiong (PH-Kota Melaka) mengenai definisi T15 dalam soal subsidi bersasar untuk petroleum RON95.

Mengenai tafsiran T15, Anwar berkata kuantum pendapatan bagi kumpulan itu sedang dalam kajian.

Menjawab soalan tambahan Datuk Nik Muhammad Zawawi Salleh (PN-Pasir Puteh) mengenai berlakunya kecelaruan tafsiran kumpulan T15 oleh pihak kerajaan, Anwar berkata ia tidak benar.

“DOSM (Jabatan Perangkaan Malaysia) sekarang menetapkan (pendapatan) RM13,000 jadi kita fikir agak rendah, kenapakah kita fikir nak naik (kuantum pendapatan) RM15,000 atau RM20,000 itu sedang dibincangkan. Jadi tidak ada percanggahan sama sekali dan ini kita rujuk kepada mesyuarat Jemaah Menteri,” katanya.

Justeru, Perdana Menteri mengingatkan semua pihak supaya teliti dalam memberikan pandangan dan harus berdasarkan fakta.

Anwar memberikan contoh Nik Muhammad Zawawi yang membangkitkan isu tatakelola selepas mendakwa Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul (Bukit Gantang) yang sebelum ini mengisytiharkan menyokong Perdana Menteri memohon tender bagi membekalkan makanan kepada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) melalui sebuah syarikat dan ‘bertembung’ dengan permohonan D'Saji.

“Kadang-kadang dalam pandangan kita, kita harus teliti, jangan hanya melontarkan secara semberono tanpa fakta sepertimana saya dengar ucapan Pasir Puteh sebelum ini bahawa Menteri Kewangan tidak ikut tatakelola dalam pengagihan kontrak kepada D'Saji dan Bukit Gantang. Tidak benar sama sekali.

“Saya yang tandatangan, saya tahu. Dengar daripada mana? daripada TikTok, ini belajar daripada mana? Seorang pula (tahu daripada) WhatsApp, tidak merujuk fakta...tetapi bila bercakap atas nama Islam rujuk al-Quran, tetapi bila hentam tak peduli,” katanya.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan