AM

MITRA SALUR LEBIH RM9 JUTA SUBSIDI PENDIDIKAN AWAL TADIKA SWASTA - RAMANAN

29/10/2024 06:01 PM

KUALA LUMPUR, 29 Okt (Bernama) -- Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA) telah menyalurkan lebih RM9.3 juta Subsidi Pendidikan Awal Tadika Swasta, kepada 182 tadika yang layak.

Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Seri R. Ramanan berkata MITRA telah menerima permohonan daripada 186 tadika, melibatkan 4,962 kanak-kanak.

“Daripada jumlah itu, MITRA telah meluluskan 182 tadika dengan nilai RM9,327,269 melibatkan 4,693 kanak-kanak, manakala empat permohonan tadika masih dalam proses penyelarasan dokumentasi,” katanya menjawab usul dikemukakan S. Kesavan (PH-Sungai Siput) mengenai dana MITRA yang diperuntukkan kepada tadika-tadika Tamil.

Beliau berkata permohonan bantuan Subsidi Pendidikan Awal Tadika Swasta telah dibuka pada 24 Jun hingga 23 Julai lepas, dengan MITRA menerbitkan garis panduan permohonan di laman web dan media sosial  bagi membantu pengusaha tadika membuat permohonan.

Subsidi Pendidikan Awal Tadika Swasta bertujuan memastikan kanak-kanak India Malaysia berumur empat hingga enam tahun menerima pendidikan awal, selain membantu pengusaha tadika swasta dalam pengoperasian tadika yang lebih kompetitif.

Menerusi inisiatif itu, setiap pelajar akan menerima subsidi yuran bulanan dengan nilai maksima RM150 dan kos makanan RM50 bagi tempoh 11 bulan mulai Mac 2024 hingga Jan 2025, yang akan disalurkan kepada pihak pengurusan tadika.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan