POLITIK

MUHAMMAD HILMAN IDHAM KETUA ARMADA BERSATU BAGI PENGGAL 2024-2027

29/10/2024 08:17 PM

PETALING JAYA, 29 Okt (Bernama) -- Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gombak Setia Muhammad Hilman Idham, secara rasmi dipilih sebagai Ketua Armada Bersatu bagi penggal 2024-2027.

Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) Bersatu Datuk Seri Abdul Azim Mohd Zabidi berkata Muhammad Hilman memperoleh 1,888 undi menewaskan Akmal Zahin Zainal Zahir yang mendapat 1,718 undi.

Beliau berkata jawatan Naib Ketua Armada disandang oleh Muhammad Faiz Rahmad dengan 1,790 undi mengalahkan dua pesaingnya Izhar Shah Arif Shah dan Ad Adib Shaharuddin yang masing-masing memperoleh 1,287 dan 490 undi.

Jawatan Pengerusi Tetap Armada pula dimenangi oleh Muhamad Amerul Muhamad, manakala timbalannya disandang oleh Mohd Firdaus Mohd Zaini.

Menurut Abdul Azim pemilihan kepimpinan Armada berkenaan diadakan pada persidangan Armada Bersatu pada Sabtu lepas yang dihadiri 9,076 perwakilan dari 111 Armada Bahagian.

Katanya pemilihan anggota Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) dan kepimpinan peringkat bahagian parti itu pula akan diadakan serentak di 175 bahagian Bersatu di seluruh negara pada 2 Nov ini.

Pada 4 Okt lepas, Tan Sri Muhyiddin Yassin kekal Presiden Bersatu manakala Setiausaha Agung parti Datuk Seri Hamzah Zainudin mengisi jawatan Timbalan Presiden, selepas masing-masing menang tanpa bertanding dalam pemilihan parti.

Datuk Mas Ermieyati Samsudin turut menang tanpa bertanding bagi jawatan Ketua Srikandi selepas penyandangnya Datuk Seri Rina Mohd Harun menarik diri manakala jawatan Naib Ketua Srikandi dimenangi Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi juga tanpa bertanding.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan