AM

KETEGANGAN GEOPOLITIK, AHLI PARLIMEN CADANG SISTEM PERTAHANAN NEGARA DIPERKUKUH

29/10/2024 09:46 PM

KUALA LUMPUR, 29 Okt (Bernama) -- Ahli Parlimen hari ini mencadangkan supaya kerajaan memperkukuh sistem pertahanan negara, ekoran ketegangan geopolitik global pada masa ini.

Onn Abu Bakar (PH-Batu Pahat) pada perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2025 di Dewan Rakyat hari ini berpandangan, peruntukan bagi Kementerian Pertahanan (Mindef) perlu dipertingkat, untuk memperkasakan pertahanan negara dan mengatasi ancaman serantau khususnya dalam perolehan aset-aset baharu.

Beliau berkata Malaysia juga perlu mengambil iktibar insiden kapal milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) KD Pendekar, yang tenggelam di Tanjung Penyusop, Johor baru-baru ini, antara lain disebabkan keusangan kapal itu.

Pada 25 Ogos, KD Pendekar dilaporkan mengalami kebocoran dan kebanjiran besar akibat terlanggar objek bawah air di kedudukan dua batu nautika Tenggara Tanjung Penyusop sebelum tenggelam sepenuhnya pada petang hari sama.

Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz (PN-Tanah Merah) pula memohon kerajaan memastikan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), dibekalkan dengan aset yang mengikut spesifikasi serta keperluan anggota.

“Di Mindef, perolehan mestilah user driven bukannya contractor driven kerana ini penting bagi memastikan anggota tentera kita mendapat aset berkualiti dan sesuai dengan keadaan mereka,” katanya.

Dalam pada itu, Datuk Dr Zulkafperi Hanapi (PN-Tanjong Karang) berkata Malaysia tidak boleh memandang ringan aspek keselamatan dan mencadangkan supaya reformasi sistem pertahanan negara segera dilaksanakan, selain memperkukuh Kertas Putih Pertahanan dengan pendekatan strategik khususnya dalam memperkasakan pertahanan udara.

Beliau berkata negara harus memperkasakan keupayaan satelit untuk mengawal selia ruang udara, serta  memperkenalkan sistem perlindungan udara.

“Kita juga perlu menambah bilangan dan keupayaan pesawat tempur atau jet-jet pejuang, memperlengkap sistem antipeluru berpandu untuk menangkis serangan yang mungkin berlaku,” katanya.

-- BERNAMA

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan