PUTRAJAYA, 29 Okt (Bernama) -- Lokasi pemasangan tag Identifikasi Frekuensi Radio (RFID) Permit Kemasukan Kenderaan Asing (VEP) di Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Johor dan Akademi Pengangkutan Jalan Wilayah Selatan ditutup bermula esok.
Sehubungan itu, Ketua Pengarah JPJ Datuk Aedy Fadly Ramli berkata pemilik kenderaan Singapura boleh hadir ke tiga lokasi baharu bagi memasang RFID VEP.
Beliau berkata lokasi berkenaan ialah di Parkir Tingkat 7, Paradigm Mall pada esok hingga Khamis (30-31 Okt) bermula 10 pagi hingga 12 tengah malam serta 1 Nov ini hingga 31 Jan 2025 bermula 10 pagi hingga 10 malam.
“Pemasangan RFID VEP juga boleh dibuat di VEP Collection Center (VCC) Danga Bay, Jalan Skudai, Johor Bahru bermula 10 pagi hingga 10 malam setiap hari.
“Lokasi pemasangan lain ialah di Woodlands Center di MY VEP PTE LTD, 186 Woodlands Industrial Park E5, #03-01, Singapore 757515 bermula 9 pagi hingga 5 petang pada Isnin hingga Jumaat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Penguatkuasaan VEP di sempadan darat Malaysia-Singapura bermula 1 Okt lepas selaras dengan Seksyen 66H (7), Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) iaitu menjadi kesalahan jika mana-mana orang yang memandu kenderaan motor asing tanpa permit sebelum memasuki atau berada di dalam Malaysia.
Bagi pendaftaran dan maklumat lanjut berkenaan tag VEP boleh layari www.vep.jpj.gov.my.
-- BERNAMA