AM

PM ANWAR AJAK SEMUA RAKYAT MALAYSIA MERAIKAN DEEPAVALI DENGAN MERIAH

30/10/2024 02:16 PM

KUALA LUMPUR, 30 Okt (Bernama) --  Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengajak rakyat Malaysia tanpa mengira kaum dan agama untuk sama-sama meraikan perayaan Deepavali dengan meriah dan kegembiraan di seluruh negara.

Mewakili seluruh jentera kerajaan dan rakyat, beliau mengucapkan selamat menyambut Deepavali kepada semua penganut Hindu.

"Hari ini menandakan, dari sudut sejarahnya dan pengajaran ialah kemenangan dari kezaliman dan kegelapan kepada cahaya kebenaran dan keadilan.

"Mudah-mudahan kita sambut dengan meriah dalam kalangan rakyat Malaysia dari pelbagai kaum dan agama, sama-sama sambut kemeriahan dan kegembiraan. Terima kasih, nandri," katanya dalam video pendek sempena sambutan Deepavali.

Deepavali yang juga dikenali sebagai festival cahaya disambut esok.

Sementara itu, dalam hantaran di Facebook, Perdana Menteri berkata Deepavali disambut dengan penuh kegembiraan dan semangat sebagai 'pesta cahaya,' yang melambangkan kemenangan cahaya ke atas kegelapan, kebaikan mengatasi keburukan, serta kekuatan ilmu mengalahkan kejahilan dan keangkuhan.

“Kita sebagai masyarakat yang kaya dengan budaya mesti menghidupkan sikap hormat dan persefahaman antara masyarakat.

“Gunakan kesempatan ini untuk menyemarak perpaduan antara kaum dan mencari titik temu, selain meningkatkan ihsan kepada yang hidup melarat dan dalam kesusahan,” katanya.

Beliau juga berharap agar perayaan Deepavali ini dapat diraikan dengan semangat kebangkitan pemikiran yang segar dan murni, demi mengangkat darjat harakat rakyat keseluruhannya.

-- BERNAMA


 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan